Maisarah Ukelele Bangga lagu ciptaan sendiri


Maisarah Faizal atau lebih dikenali dengan panggilan Maisarah Ukelele dalam kalangan peminatnya membabitkan diri dalam indusri muzik sejak berusia 13 tahun.

Kelebihan bermain Ukelele pada usia muda dengan baik berjaya menarik perhatian umum dan pada masa sama dia turut menunjukkan kemampuan mencipta lagu.

Mencuba sekian lama, akhirnya nasib menyebelahi Maisarah apabila singlenya Oh! Si Kacak diterima baik dan turut tersenarai dalam carta lagu popular.

Walaupun tidak meraih kejayaan besar dan populariti memuncak seperti Wany Kayrie, Wani dan Haqiem Rusli, Maisarah berpuas hati dengan pencapaian diraih.

Ditemui baru-baru ini Maisarah berkata, dia tidak pernah meletakkan harapan tinggi apabila melangkah masuk dalam industri.

Tambahan pula niatnya adalah untuk mengembangkan bakat yang ada selain mahu meraih pengalaman.

Maisarah sedar, untuk meraih kejayaan seperti rakan seangkatan agak susah kerana dia masih bersekolah dan tahun ini akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tidak ada apa yang mahu saya kejar, apatah lagi saya perlu memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Walaupun sibuk, Alhamdullilah lagu Oh! Si Kacak berjaya mengangkat nama saya,” katanya.





Katanya, dia tidak suka membandingkan kejayaan diraih teman seangkatan dengan perkembangan kerjaya seninya.

“Orang lain lebih popular itu adalah rezeki mereka dan saya senang dengan rezeki yang sudah ditetapkan. Saya juga senang berada di mana saya ada sekarang,” katanya lagi.

Membanggakan apabila Maisarah kini muncul dengan album sulung dan kebanyakan lagu adalah ciptaannya sendiri.

“Lagu pertama ciptaan saya Adakah Ini Cinta pada tahun 2016 sementara lagu Oh! Si Kacak ciptaan kedua, namun wakil syarikat rakaman mahu lagu Oh! Si Kacak dikeluarkan dulu.

“Saya dapat inspirasi menghasilkan Oh! Si Kacak daripada ibu yang sedang menonton sebuah drama dan sambil berbual dia berkata alangkah bagus andai saya menghasilkan lagu mengenai wanita yang memuja lelaki kacak.

“Lagu itu pula 50 peratus datang daripada imaginasi dan 50 peratus lagi pengalaman saya pernah suka kepada seseorang, tetapi takut nak luahkan,” katanya.

Kata Maisarah selepas menghasilkan album, dia mahu memberikan tumpuan kepada kerja promosi terlebih dulu dan waktu sama fokus belajar.

“Saya akan kembali aktif sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM nanti. Buat masa sekarang saya fokus mempromosikan album sulung ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post