Anis Al Idrus teruja jadi influencer fesyen


Pelakon dan penyanyi, Anis Al Idrus, 30, akan mewakili Malaysia sebagai ‘influencer’ media sosial di Jakarta Modest Fashion Week (JMFW) pada 26 hingga 29 Julai ini.

Anis bagaimanapun akan terbang awal ke negara jiran itu untuk turut serta dalam majlis makan malam gala pada Rabu depan.

“Alhamdulillah, ini satu lagi rezeki buat saya. Saya sangat berbesar hati apabila dipilih dan mendapat peluang keemasan seperti ini.

“Saya akan terbang ke sana (Indonesia) pada 25 Julai ini untuk majlis makan malam gala bersama ‘influencer’ fesyen dari seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, dia menerima tawaran untuk menjadi sebahagian daripada acara bertaraf antarabangsa itu sejak April lalu.

“Saya dijemput dan ditawarkan untuk menjadi ‘influencer’ di acara itu pada April lalu, namun dibenarkan untuk berkongsi maklumat mengenainya bermula semalam,” katanya.





Anis menerangkan bahawa tugasannya adalah sebagai pemerhati dan akan mengulas mengenai persembahan fesyen yang berlangsung sepanjang minggu itu.

“Saya akan menghangatkan media sosial dan laman web rasmi mereka dengan ulasan mengenai fesyen yang sesuai untuk wanita Muslimah.

“Selain saya, ramai lagi ‘influencer’ lain dari seluruh dunia termasuk Arab Saudi dan Turki. Harapnya, ini akan memberi impak kepada industri fesyen tanah air dan juga karier saya sebagai ahli perniagaan dalam bidang ini,” katanya.

Terbaru, Anis masih dalam rangka promosi lagu barunya, Tak Guna menampilkan Andi Bernadee.

Post a Comment

Previous Post Next Post