
Berikutan status yang dimuat naik Ernie Zakri di laman Instagramnya yang dikaitkan dengan Haqiem Rusli semalam, penyanyi yang baru sahaja mengumumkan tidak jadi untuk berhenti menyanyi itu tampil membuat penjelasan.
Haqiem tampil membuat kenyataan itu di laman Twitter miliknya apabila ramai netizen termasuk peminatnya sendiri yang bertanyakan tentang perkara itu.
Terdahulu Haqiem tampil di stesen radio Hot FM pada Selasa untuk berkongsi tentang perkembangan terbaru dirinya.
Pada sesi tersebut, Ernie Zakri, Wany Hasrita dan Ara Johari turut dijemput untuk memberikan sokongan kepadanya. Bagaimanapun ia menimbulkan rasa kurang senang mereka yang terbabit kerana mendakwa tidak mengetahui tentang perkara tersebut dan rasa dipergunakan.
“Program tadi saya hanya diberitahu ada interview dan kena nyanyi. Jujur,” respons Haqiem kepada para pengikutnya yang bertanyakan tentang perkara itu di laman Twitter.
Status tersebut bagaimanapun mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menyelar penyanyi Tergantung Sepi itu yang dianggap sengaja mencari publisti murahan.
Sejak semalam, isu ini masih lagi hangat diperkatakan di media sosial dan timbul juga pelbagai spekulasi mengenainya.
Dalam pada itu, pihak media pada petang ini menerima jemputan daripada pihak syarikat rakaman Haqiem, yang turut dinaungi Erni dan Wany untuk hadir ke majlis sidang media tergempar yang bakal menampilkan ketiga-tiga penyanyi ini.
Meskipun tidak menyatakan secara jelas tujuan sidang media tersebut diadakan, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan isu yang sedang hangat di perkatakan ini.