
Terpaksa bekerja keras memperbaiki pertuturan dalam bahasa Melayu antara cabaran yang perlu dihadapi pelakon dan penyanyi Alvin Chong untuk memastikan dirinya dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam industri hiburan tanah air.
Perkara tersebut dikongsi Alvin yang mengakui pentingnya sesebuah persekitaran dan pergaulan dengan rakan berbangsa Melayu yang disifatkannya sebagai landasan terbaik untuk memperbaiki tahap penguasaan bahasa Melayunya.
“Berbanding dengan pergi ke kelas, saya fikir penguasaan bahasa lebih mudah jika dipraktikkan dengan cara berbual dan adakalanya bergosip bersama rakan-rakan.
“Sebab cara sebegitu lebih bagus dan cepat kerana ia berjaya memperbaiki kemahiran bahasa dan pertuturan memandangkan selama ini memang saya bercakap bahasa Cina sahaja bersama keluarga,” ujar Alvin ketika ditemui pada majlis pengenalannya sebagai artis naungan Universal Music baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, pelakon kelahiran Pulau Pinang itu turut memperkenalkan lagu duet baharunya bersama penyanyi dari Filipina, Isabela Vinzon berjudul We Got This.
Agama
Sejak kemunculannya pada 2016 menerusi drama Suri Hati Mr. Pilot, Alvin pantas diterima peminat terutama golongan Melayu.
Namun, di sebalik usaha meletakkan tapak kukuh dalam industri, tidak dinafikan bahawa pelantun lagu Mencintaimu itu berhadapan ruang yang sangat terhad.
“Saya tidak nafikan penerimaan watak sangat terhad. Biarpun ada tawaran untuk saya menjayakan watak lelaki Melayu tetapi saya tolak. Alasannya adalah disebabkan isu agama dan kedua, saya masih tidak bersedia.
“Paling tidak pun, saya boleh ambil watak mualaf. Bukannya apa, saya cuma tidak mahu ada isu yang akan timbul sekiranya saya membawakan watak sebegitu kelak,” jelas pelakon beruia 27 tahun itu.
Namun akuinya, dia juga tidak terlepas daripada berdepan cabaran selama lebih tiga tahun berada dalam industri hiburan Melayu, lebih-lebih lagi apabila berhubung isu agama.
Dedahnya, selepas menerima watak lelaki mualaf, dia kerap menerima mesej daripada orang luar yang bertanyakan minatnya untuk menukar agama, memandangkan peminat sudah serasi melihatnya membawakan watak mualaf.
“Ramai yang tanya, adalah saya tidak terbuka hati untuk memeluk Islam selain bersunat. Jujurnya, saya agak kecewa dengan pertanyaan sebegitu kerana ia bersifat peribadi dan menyentuh soal agama seseorang.
“Sama ada saya terbuka hati atau tidak, semuanya hak saya. Jika suatu hari nanti ia jadi realiti, saya tidak akan sorokkan daripada semua.
“Cuma situasi ini buat saya terkilan kerana masih ada mentaliti sedemikian dalam masyarakat di negara kita. Saya tahu serba sedikit tentang Islam dan ia adalah agama yang sangat indah,” luahnya.
Ditanya tentang keseimbangan dua karier, antara nyanyian dan lakonan, Alvin mahu kedua-dua bidang yang diceburinya bergerak selari meskipun mengakui tidak pernah mengikuti sebarang kelas lakonan atau vokal secara profesional.
“Kalau orang kata lebih baik saya berlakon daripada menyanyi, itu terpulang kepada penilaian mereka kerana ada juga orang yang tidak suka melihat saya berlakon.
“Saya cuma buat apa yang disukai dalam hidup. Biarpun ironinya saya tidak pernah mengambil kelas vokal atau masuk kelas lakonan tetapi ia menjadi cabaran untuk saya melakukan yang terbaik dan mampu meyakinkan peminat bahawa saya boleh,” kata Alvin yang dalam perancangan untuk meluaskan karier nyanyiannya ke negara Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia selain China, Taiwan dan Hong Kong.