Naskah Mencintaimu Mr. Photographer yang ditayangkan pada tahun 2017 telah menjadi batu loncatan buat wanita jelita berusia 22 tahun ini untuk mencuri tempat dalam industri seni hiburan tanah air.
Memiliki kelebihan dengan pakej sempurna untuk mendukung watak utama, pemilik nama lengkap, Hannah Adlina Blackburne Birch atau lebih dikenali sebagai Hannah Delisha pada awalnya ingin dikenali sebagai penyanyi berbanding pelakon.
Barangkali dek kerana ingin mengikut jejak langkah ibunya yang turut terkenal sebagai penyanyi sekitar 1980-an, Noor Ashikin menjadikan wanita mesra disapa sebagai Hannah itu berkelana ke Malaysia demi memperjudikan nasib dalam bidang seni suara.
Modus operandi untuk menghiburkan halwa telinga peminat bagaimanapun tidak mampu menidakkan kemampuannya dalam menterjemah emosi watak fiksyen, sekali gus bergelar aktres.
Biarpun peluang tersebut menyongsang daripada tujuan asalnya, Hannah lantas menyahut cabaran beraksi di hadapan kamera berbanding di pentas nyanyian.
Usaha wanita kacukan Melayu-Inggeris itu sekali gus menjadikan dirinya antara selebriti dari Kota Singa yang berjaya mencipta nama di Malaysia.
Namun bagi Hannah, dia tidak melihat lambakan selebriti dari negara luar seperti Singapura, Indonesia dan Brunei yang mencari rezeki di Malaysia sebagai satu persaingan.
Bahkan, Hannah sendiri tidak meletakkan dirinya untuk saling bersaing dengan artis dari negara kelahirannya mahupun di negara ini.
“Sejujurnya saya tidak terfikir untuk mewujudkan persaingan dengan sesiapa. Segalanya merupakan rezeki dan selagi Tuhan mengurniakan bakat, insya-Allah saya akan terus berusaha dan memberikan yang terbaik buat peminat.
“Pada pandangan saya, persaingan itu tidak perlu ada kerana kita semua perlu saling bekerjasama demi kebaikan industri hiburan,” katanya ramah.
Duta produk
Selain rezeki dalam bidang lakonan, Hannah juga dilantik sebagai duta produk telefon pintar Huawei yang kini telah memasuki tahun kedua.
Tuah nyata berpihak kepadanya apabila Hannah bukan sahaja diberi kepercayaan menjadi wajah produk tetapi turut menyanyikan lagu rasmi jenama tersebut bertajuk Nova Superstar.
Peluang sebegitu bukan sahaja menjadi rezeki terpijak buat Hannah tetapi berjaya merealisasikan keinginannya untuk mencuri tumpuan khalayak sebagai penyanyi.
“Alhamdulillah, nampaknya jodoh saya masih panjang dengan jenama ini. Paling menarik bukan sekadar menjadi duta tetapi saya juga berpeluang menyanyikan lagu jenama berkenaan,” jelasnya yang ditemui pada majlis pelancaran Huawei Nova Superstar di Lightbox, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada masa sama, Hannah turut mengharapkan peluang menyanyikan lagu tema berkenaan akan menjadi permulaan untuk mencuri peluang menceburi kerjaya nyanyian.
Kisah seram
Melanjutkan cerita mengenai anjakan kerjaya lakonan, Hannah bersyukur, rezeki sebagai pelakon memberikan refleksi positif terhadap perjalanan karier, sekali gus hidupnya.
Selepas terlibat dalam filem televisyen Astro First Eksklusif, The Hantus, Hannah juga tidak menafikan dia berasa teruja menantikan kemunculan naskhah layar perak pertama lakonannya berjudul Langsuir.
Membawakan watak sebagai Suri, Hannah mengakui dia gemar menghabiskan masa sendirian dan mendengar lagu asli Jawa ketika berada di lokasi penggambaran naskhah tersebut.
Bukan sahaja membantu untuk meniupkan roh langsuir ke dalam dirinya, Hannah juga berdepan detik cemas yang kemungkinan dapat menyebabkan dia menjadi mangsa patukan seekor ular hitam.
Kongsi Hannah, insiden ular hitam itu berlaku sewaktu dia sedang berada di lokasi sementara menunggu produksi menyelesaikan babak aksi dalam filem tersebut.
“Ketika itu saya berada berhampiran sebatang sungai dengan hanya berkemban mengenakan kain sarung. Kemudian secara tiba-tiba saya berasa seperti ada sesuatu yang lembut menjalar pada bahagian kaki.
“Awalnya saya fikir ia kain sarung yang dipakai tetapi setelah diamati, alangkah terkejutnya saya melihat seekor ular hitam sedang berlingkar di situ.
“Tanpa berlengah saya melompat ke belakang. Bersyukur saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan seorang kru produksi berjaya menghalau ular berkenaan,” terang Hannah.
Bukan sekadar cerita ular hitam, malah Hannah turut dikatakan bagai mengalami hipnosis apabila dia kerap dilihat menyanyi lagu tradisional dan menyendiri ketika di lokasi.
Bagai dirasuk roh jahat, Hannah turut dikatakan tampak berbeza saat menyelami jiwa Suri di hadapan kamera sehingga dikatakan jelas ketara berbeza berbanding personaliti sebenarnya.
Melepaskan ketawa kecil sebelum mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hannah bagaimanapun gembira apabila mendapati usahanya menterjemahkan karakter dengan baik mendapat reaksi positif.
“Langsuir bukan sahaja filem pertama tetapi naskhah tersebut turut melihatkan kemunculan pertama membawakan watak sebagai hantu.
“Saya hanya tawakal menantikan reaksi penonton. Paling utama, saya telah berikan yang terbaik kepada pengarah Osman Ali,” tutur Hannah seraya melepaskan ketawa kecil.
Selain Hannah, filem terbitan Guam TeamWork Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nuansa Films itu turut dibintangi Syafiq Kyle, Julia Farhana dan Firdaus Nadzaman.
Langsuir bakal ‘menghantui’ pawagam di seluruh Malaysia menjelang 20 September hadapan.
Pertama kali muncul di layar perak, Hannah Delisha menyerahkan kepada peminat untuk menilai mutu lakonannya menerusi filem Langsuir yang bakal ditayangkan pada 20 September depan.
Promo: Lazada (MY): Huawei Nova 3i RM1,249 https://goo.gl/itdcuK
Promo: Lazada (MY): Huawei Nova 3 RM1,899 https://goo.gl/MuXTfq