Paduan 3 suara Zizi Kirana Benzooloo dan Sandra Dianne dalam Terkemuka


Menyifakan selesa bekerjasama, Zizie (berdiri kiri), Sandra dan Benzooloo yang berasal dari Sabah tidak menolak sekiranya digabungkan sekali lagi selepas ini.

Buat kali pertama, tiga penyanyi iaitu Zizi Kirana, Benzooloo dan Sandra Dianne disatukan menerusi lagu terbaharu garapan komposer terkenal, Malique berjudul Terkemuka.

Apa yang menariknya, lagu tersebut dinyanyikan ketiga-tiga penyanyi yang berasal dari Sabah. Lirik lagu itu juga mendapat sentuhan daripada Benzooloo yang bergiat aktif dalam bidang nyanyian terutama rap sejak berusia 18 tahun.

Ujar Benzooloo, dia mendapat inspirasi untuk menulis lirik berkisar perjalanan seseorang individu yang mahu menjadi pakar dalam bidang diceburi selepas Malique memberinya susunan muzik lagu tersebut.

“Lagu ini merupakan langkah pertama saya untuk bergiat aktif dalam pasaran muzik arus perdana. Hal ini kerana sebelum ini, saya sudah mencipta lagu hampir lapan tahun secara underground.

“Perbezaan menghasilkan lagu ini dengan karya saya sebelumnya tidak banyak, cuma saya perlu bekerja keras kerana lagu ini dipantau oleh Malique yang juga selaku produser,” ujarnya pada sidang akhbar selepas pelancaran lagu tersebut di Red Box The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Benzooloo yang sememangnya mengimpikan untuk berkolaborasi dengan bekas anggota kumpulan Too Phat itu memberitahu, dia diberi masa selama dua hari untuk menyiapkan lirik lagu tersebut.

Jelasnya, dia menghantar tiga draf lirik tersebut untuk diteliti Malique sebelum diterima.

“Sejujurnya tidak banyak lirik yang perlu dibetulkan dan saya selesa bekerja dengan Malique.

“Apa yang diharapkan, lagu ini mampu bertahan lama, malah jika diizinkan, kami juga menyimpan angan-angan untuk mempersembahkan Terkemuka di pentas-pentas berprestij selepas ini,” katanya yang mahu membuktikan kebolehannya mencipta lagu untuk pasaran muzik arus perdana.





Kerjasama

Bagi pelantun lagu Boleh Jalan, Zizi Kirana pula memberitahu, idea untuk menggabungkan mereka bertiga datang daripada Malique sendiri.

“Pada permulaan, lagu ini hanya membabitkan saya dan Benzoolo tetapi kami terpaksa mencari seorang lagi penyanyi wanita untuk menyanyikan bahagian korus.

“Hal ini kerana kami berdua menyanyikan bahagian rap lagu tersebut,” jelasnya sambil memberitahu, mereka tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama jika digandingkan sekali lagi selepas ini.

Kata Zizi, dia berdepan cabaran ketika merakamkan lagu tersebut yang disifatkan berbeza dengan lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini.

Hal ini kerana, dia perlu membuat kajian berkenaan lirik dan kelancaran susunan perkataan yang ditulis Benzooloo.

“Apa yang mencabar ialah lirik rap yang dinyanyikan dalam lagu ini bersambung dan tiada noktah. Oleh sebab itu, saya perlu tahu bagaimana untuk mengekalkan momentum ketika menyanyikannya.

“Sejujurnya, lirik lagu ini sedikit susah bagi saya kerana ia lebih serius dan mendalam,” ujarnya yang mengharapkan lagu tersebut diterima baik peminat.

Pelantun lagu Hey Kau, Sandra pula berpendapat, lagu Terkemuka menyelamatkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Jelas Sandra, Terkemuka merupakan ‘batu loncatan’ baginya untuk terus kekal dalam industri.

“Jika dilihat, rezeki saya lebih kepada menghasilkan projek duet bersama penyanyi lain. Saya tidak kisah kerana beranggapan itu merupakan bonus.

“Hal ini kerana secara tidak langsung peminat masih sedar kewujudan saya dalam industri muzik tempatan,” ujarnya yang mengakui berdepan cabaran menyanyikan lagu duet yang didatangkan dalam pelbagai genre muzik.


Post a Comment

Previous Post Next Post