Tajul Ariff masih bujang tetapi sudah berpunya


TAJUL mengakui sudah mempunyai kekasih dan tidak pernah mendirikan rumah tangga sebagaimana khabar angin mengatakan wanita dalam sebuah video yang tular di media sosial adalah isterinya.

Dikatakan telah berkahwin secara rahsia, pemilik nama Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, atau lebih dikenali sebagai Tajul tegas menafikan perkara tersebut.

Insiden tersebut berlaku apabila seorang pemilik butik memuat naik video ke Facebook memaparkan Tajul bersama seorang wanita yang didakwanya sebagai isteri penyanyi berkenaan.

Video tersebut pantas tular dalam media sosial sehinggakan khalayak mendakwa, Tajul dan wanita terbabit benar-benar telah berkahwin secara rahsia.

Tiada niat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak, pelantun lagu Melamar Rindu itu menyifatkan tindakannya memperkenalkan wanita tersebut sebagai isteri hanya satu gurauan.

Dalam pada menafikan khabar mengenai perkahwinan rahsia itu, Tajul bagaimanapun mengakui wanita berkenaan merupakan kekasihnya yang dikenali sejak di bangku sekolah rendah.

Selain kisah peribadi, Tajul yang ditemui pada sidang akhbar program Big Stage terbitan Astro itu turut berkongsi mengenai keterujaan menyertai rancangan televisyen tersebut.

Big Stage bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad pukul 9 malam bermula 5 Ogos depan.





KOSMO!: Baru-baru ini Tajul dikaitkan dengan seorang wanita dan dikatakan telah berkahwin secara sembunyi tanpa pengetahuan umum. Bolehkah anda menjelaskan perkara tersebut?

TAJUL: Saya tiada komen untuk perkara itu dan jawapannya kekal sama dengan kenyataan sebelum ini. Saya tidak pernah berkahwin dan masih bujang.

Sejujurnya ketika itu saya hanya bergurau dan tidak menyangka perkara tersebut akan menjadi tular.

Sebenarnya saya belum berkahwin, namun sudah berpunya. Saya mohon maaf dan tiada niat untuk menyinggung mana-mana pihak.

Difahamkan, sebelum ini anda sudah mengadakan sebuah majlis keraian. Adakah ia merupakan majlis merisik?

Saya memang mengadakan sebuah majlis tetapi ia bukan acara rasmi ataupun melibatkan perkahwinan. Ia hanya sebuah majlis tahlil dan kesyukuran.

Jadi, bolehkah jelaskan identiti wanita yang didakwa sebagai isteri anda itu?

Maaf saya tidak dapat memperincikan mengenai identitinya tetapi kami telah lama berkenalan. Kami saling berhubung menerusi Facebook dan mula mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah.

Selepas tamat sekolah menengah, kami mula menjalin hubungan secara serius.

Biarpun dalam tempoh perkenalan saya menetap di Negeri Sembilan, manakala dia di Kuala Lumpur tetapi disebabkan kediamannya berhampiran dengan rumah bapa saudara saya, ia membuatkan kami agak mudah berhubung.

Sepanjang perkenalan, dia seorang yang memahami dan tidak bersikap queen control (menyekat kehidupan) saya. Dia sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti.

Adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga?

Tidak dinafikan dia sudah bersedia untuk berumah tangga tetapi saya menasihatinya agak bersabar terlebih dahulu.

Saya ingin memberi fokus kepada kerjaya sebelum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami.

Syukur, dia memahami kerjaya saya. Saya juga mahu menunggu waktu yang sesuai sebelum bersedia untuk berkahwin.

Beralih tentang karier, bolehkah anda kongsikan mengenai program Big Stage?

Program tersebut seperti rancangan realiti televisyen sedia ada.

Ia disertai seramai 10 orang penyanyi baharu yang terdiri daripada Afieq Syazwan, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Syafiq Farhain, Baby Shima, Fara Hazel, Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie.

Setiap peserta diadili oleh juri profesional bagi fasa pertama, manakala tiga kedudukan paling bawah akan diundi secara atas talian menerusi aplikasi Tik Tok dan berlaku penyingkiran.

Apakah tujuan anda menyertai program tersebut. Adakah kerana ingin mengejar populariti dan bagaimanakah penerimaan anda sekiranya menerima kritikan ‘pedas’ daripada juri kelak?

Penyertaan dalam program tersebut bukan bertujuan untuk mencari publisiti tetapi saya ingin menambah kemahiran dalam nyanyian dan menimba pengalaman.

Bercerita mengenai kritikan, saya terbuka dan menerima sebarang komen dengan hati lapang.

Sejujurnya kritikan bukan sahaja dapat memperbaiki kesilapan diri tetapi ia juga memberi peluang untuk menimba pengalaman baharu.

Post a Comment

Previous Post Next Post