Erwin Dawson teruja, Puteri Aishah gementar


Selepas dua tahun menjalani penggambaran, kini sebuah naskhah yang ditunggu-tunggu ramai, Pulang bakal menemui penonton tidak lama lagi. Semestinya, ia merupakan sebuah karya yang cukup istimewa apabila menelan belanja pembikinan sehingga mencecah RM6 juta.

Lebih menarik, filem ini turut banyak menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) yang turut memperuntukkan perbelanjaan yang cukup tinggi.

Bakal menemui penonton di pawagam bermula 26 Julai ini, Pulang menjanjikan jalan cerita yang cukup menyentuh hati yang diilhamkan daripada sebuah kisah benar.

Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual dua pelakonnya, Erwin Dawson dan Puteri Aishah untuk berkongsi cerita mengenai penglibatan mereka dalam naskhah arahan Kabir Bhatia ini.

Boleh kongsikan mengenai pembabitan kalian dalam filem Pulang?

ERWIN DAWSON: Filem ini sudah menjalani penggambaran kira-kira dua tahun yang lalu. Jadi, inilah waktu yang dinanti-nantikan oleh kami semua barisan pelakon untuk melihat hasil kerja masing-masing dalam merealisasikan apa yang sudah dirancang sebelum ini. Seronok dapat bekerja dengan satu pasukan produksi yang bagus dan komited dalam setiap kerja yang dilakukan.

PUTERI AISHAH: Semestinya ia satu penghormatan buat saya apabila dipilih untuk menjadi salah seorang pelakon dalam naskhah yang saya kira cukup bermakna. Ini kerana, filem ini bukanlah sebuah filem fiksyen, sebaliknya, ia mengangkat kisah yang benar-benar pernah berlaku. Jadi, cukup teruja dan pada masa sama saya juga gementar untuk menunggu respons daripada orang ramai kerana ia merupakan naskhah sulung saya di layar perak. Apatah lagi digandingkan dengan pelakon berbakat besar seperti Remy Ishak, saya anggap ini adalah peluang besar.







Apakah karakter yang digalas kalian dalam filem ini?

ERWIN DAWSON: Saya memegang watak sebagai Ahmad. Kalau ikutkan kepada jalan kisah benar, watak Ahmad ini adalah watak sebenar kepada pemilik idea asal cerita ini iaitu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

PUTERI AISHAH: Saya pula memegang watak sebagai Thom, iaitu wanita yang menjadi isteri kepada kelasi kapal, Othman. Hasil perkahwinan itu kami memiliki seorang anak bernama Omar yang kemudiannya dikurniakan cucu bernama Ahmad yang dilakonkan oleh Erwin.





Jalan cerita filem ini merupakan inspirasi daripada kisah benar, adakah kalian melihat diri kalian cukup dekat dengan watak sebenar yang cuba digambarkan?

ERWIN DAWSON: Saya mengikuti sesi uji bakat sama seperti orang lain sewaktu sesi pemilihan barisan pelakon. Saya sendiri tidak pasti mengapa saya terpilih. Barangkali mereka melihat ada sesuatu pada diri saya untuk membawakan watak sebagai Ahmad itu yang dirasakan lebih bersesuaian. Saya tidaklah diminta untuk ikut bulat-bulat sama seperti karakter Ahmad. Bagaimanapun, saya cuba sampaikan sebaik mungkin mengikut arahan dan permintaan pengarah.

PUTERI AISHAH: Latar masa filem ini memaparkan sewaktu zaman 1940-an. Jadi, karakter saya dalam filem ini kalau diperhatikan penampilan imej yang lebih klasik. Barangkali mereka melihat wajah saya ini mempunyai raut wajah klasik menyebabkan saya diberi peranan memegang watak sebagai Thom. Cuma, ada beberapa perkara yang saya perlu tonjolkan termasuklah, sifat dan tingkah laku sebenar yang ada pada diri Thom sebenar yang diceritakan kepada saya. Antaranya, termasuklah penekanan penggunaan ayat ‘cuba’ yang suka diguna pakai.

Apakah cabaran yang kalian boleh kongsikan sewaktu pembikinan filem Pulang ini?

ERWIN DAWSON: Kalau ingin cakap pasal cabaran, sebenarnya agak subjektif. Daripada aspek fizikal, apa yang saya boleh kongsikan adalah sewaktu menjalani penggambaran di Liverpool ketika babak di mana saya mencari kebenaran mengenai datuk saya. Pada masa itu penggambaran dilakukan pada musim sejuk. Jadi, saya berdepan dengan cabaran cuaca apabila pakaian yang dikenakan itu tidak cukup tebal. Sampaikan terpaksa menahan gigil sewaktu penggambaran berlangsung. Selain itu, saya sendiri berasa teruja apabila berpeluang melihat sendiri pusara Othman iaitu individu yang diceritakan dalam filem ini di Anfield, Liverpool.

PUTERI AISHAH: Dalam filem ini, saya boleh katakan watak saya lebih banyak bermain dengan emosi. Kalau diperhatikan, dalam filem ini, banyak bermain dengan perasaan yang melibatkan gembira, sedih dan tertekan. Sudah pasti, sebagai pelakon, saya perlu menjiwai watak itu agar apa yang cuba disampaikan dapat sampai kepada penonton. Semestinya, bukan mudah untuk kita tonjolkan emosi itu agar turut sama dirasai penonton.

Apakah yang kalian boleh perkatakan mengenai kerjasama dengan pengarah tersohor, Kabir Bhatia dalam pembikinan filem kali ini?

ERWIN DAWSON: Ini merupakan kali kedua saya bekerjasama dengan Kabir Bhatia selepas filem Bisik Pada Langit. Sudah semestinya, saya cukup teruja setiap kali dapat bekerja dengan pengarah yang cukup berbakat dalam dunia pengarahan. Buat masa ini, kedua-dua filem saya bersamanya menerima maklum balas yang cukup positif dan memberangsangkan. Sudah pasti, saya melihat peluang lain untuk terus bekerja dengan Kabir sebagai pengarah, kawan dan juga mentor. Kalau boleh nak selalu kerja dengan Kabir, tapi tidak tahulah saya ini boleh ke tak (seloroh).

PUTERI AISHAH: Sebelum ini, saya banyak berlakon drama untuk siaran televisyen sahaja. Jadi, ini merupakan pengalaman pertama saya untuk bekerja di set penggambaran filem. Satu pengalaman baharu apabila dapat bekerja di bawah Kabir Bhatia. Bagaimanapun, saya bersyukur, Kabir dan rakan-rakan lain banyak membantu memberi tunjuk ajar kepada saya dalam menjayakan watak yang digalas. Bahkan, saya juga berpeluang mempelajari kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar.

Post a Comment

Previous Post Next Post