10,000 penonton membanjiri konsert artis K-Pop Wanna One


Penonton membanjiri Arena Axiata, Bukit Jalil pada malam ini.

Persembahan penyanyi kumpulan dari Korea Selatan, Wanna One berjaya menarik lebih 10,000 orang penonton membanjiri Arena Axiata, Bukit Jalil pada malam ini.

Mendendangkan sekitar 15 buah lagu, kumpulan tersebut dianggotai oleh Yoon Ji-sung, Ha Sung-woon, Hwang Min-hyun, Ong Seong-wu, Kim Jae-hwan, Kang Daniel, Park Ji-hoon, Park Woo-jin, Bae Jin-young, Lee Dae-hwi, dan Lai Guan-lin.

Konsert berdurasi sekitar dua jam 30 minit itu bermula pada pukul 8.15 malam dan antara lagu yang dipersembahkan ialah Pick Me, Boomerang, Always, I Promise You, Burn It Up, Never dan Beautiful.

"Terima kasih kepada sokongan peminat dan kami akan lebih berusaha pada masa akan datang. Ini merupakan kali kedua kami hadir ke Malaysia selepas acara bertemu peminat pada Januari lalu.





"Menu nasi lemak merupakan hidangan kegemaran kami kerana rasanya yang lazat. Bangunan Menara Berkembar Petronas KLCC pula merupakan mercu tanda yang menarik di sini.

"Konsert ini dilihat berjaya dan diharapkan kalian semua terhibur dan terus memberi sokongan kepada kami kelak," kata anggota kumpulan Wanna One pada sesi interaksi bersama peminat.

Konsert tersebut dibawakan oleh YJ Partners dengan kerjasama IMC Live Group (M) Sdn. Bhd. turut memperlihatkan kemahiran menari Wanna One selain kekuatan vokal mereka.

Wanna One merupakan sebuah kumpulan yang ditubuhkan menerusi program realiti Produce 101 musim kedua.

Post a Comment

Previous Post Next Post