Video Tik Tok menunjukkan kemesraan Erra Fazira dan anaknya, Aleesya bersama Shahir Zawawi yang menjadi perbualan ramai.
Minggu lalu dunia hiburan tanah air sekali lagi dihangatkan menerusi penyebaran rakaman video muzik yang dilakukan Shahir Zawawi menerusi aplikasi Tik Tok bersama primadona filem Melayu, Erra Fazira.
Rakaman yang memaparkan kemesraan antara penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan bersama Erra dan anaknya, Engku Aleesya itu juga sekali lagi mengundang teka-teki dalam kalangan peminat tentang sejauh mana hubungan mereka.
Malah, ada yang menganggap pasangan ini seperti sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya apabila terbuka berkongsi video mereka bersama kepada umum sejak sekian lama tanpa sebarang berita.
Bagaimanapun, tidak sampai sehari video yang dikongsi oleh Erra sendiri di aplikasi Tik Tok itu telah dipadam.
Belum reda khalayak memperkatakan mengenai video mesra tersebut, Shahir pada hujung minggu lalu mendedahkan, mahu menikahi Erra sekitar tahun ini. Akuinya, dia tidak merancang untuk bertunang, sebaliknya mahu terus melangsungkan perkahwinan jika semua perancangan mereka lancar.
Malah katanya: “Apabila semua urusan mengenai perancangan ini selesai, saya akan mengumumkan tarikh pernikahan kami.”
Erra berbicara mengenai impak tular video Tik Tok dan keberanian pendedahan hasrat Shahir mahu berkahwin dengannya pada tahun ini.
KOSMO!: Apabila tersebarnya video Tik Tok berkenaan, adakah ia membuktikan Erra semakin terbuka mendedahkan hubungan dengan Syahir?
Erra: Sebenarnya saya baru belajar menggunakan aplikasi Tik Tok. Video berkenaan tersebar mungkin disebabkan kealpaan saya yang terlalu gembira dengan aplikasi baharu ini. Sebelum ini saya cuba rakam tetapi tidak menjadi. Kebetulan pada hari itu video berkenaan menjadi.
Ketika mahu menyimpan video dalam memori telefon, aplikasi Tik Tok meminta saya muat naik video tersebut baru boleh disimpan. Saya rasa tidak mengapa sebab tidak ramai pengikut saya dalam aplikasi ini tetapi selepas itu pengikut terus naik mendadak. Tanpa disedari, ada peminat yang sudah berkongsi video itu di Instagram, jadi sepantas kilat saya terus buang video berkenaan.
Jika dilihat menerusi video berkenaan, anak anda, Engku Aleesya kelihatan begitu selesa berada di sisi Shahir. Adakah ini membuktikan dia sudah menerima kehadiran lelaki itu?
Untuk pengetahuan, Aleesya mengenali semua rakan-rakan saya termasuk Shahir. Anak saya seorang yang sukar bermesra dengan orang luar tetapi siapa yang pandai layan dia, Aleesya pasti akan cepat mesra.
Saya juga tidak pernah bercakap dengan Aleesya bahawa lelaki ini (Shahir) akan jadi bakal bapa dia. Saya tidak pernah menerangkan perkara itu kerana yang penting adalah asalkan dia selesa.
Bagi pihak Aleesya, anda rasa dia sudah bersedia terima ayah baharu?
Jika dia boleh terima ibu baharu, saya fikir dia juga boleh terima ayah baharu. Biarpun begitu, saya belum lagi tergerak hati mahu memberi ayah baharu kepada Aleesya sebab tidak ada benda yang perlu saya kejar. Aleesya pun tidak pernah bertanya tentang ini, cuma kadangkala dia kasihan melihat saya hidup sendiri.
Sebenarnya sejauh mana hubungan antara anda berdua? Mengapa kelihatan seperti bermain tarik tali?
Ramai yang salah anggap seperti saya ini hendak berahsia. Masalahnya jika saya seorang yang cakap lebih-lebih tidak manis, biarlah dia yang bercakap. Satu perkara lagi, saya bukan budak muda remaja yang perlu mengumumkan kepada orang ramai yang kami sedang bercinta.
Biarlah ia berjalan mengikut percaturan yang Allah rancang. Tidak semua manusia dilahirkan sempurna. Bagaimanapun, saya selesa bersama Shahir kerana banyak ilmu yang saya tidak tahu, namun dia tahu dan ajar saya.