Selepas enam tahun memeram lagu yang dicipta khas buat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyanyi Aizat Amdan akhirnya memberanikan diri untuk melancarkan single berjudul Harapan Jadi Nyata.
Istimewanya, lirik lagu tersebut ditulis oleh bapanya, Datuk Amdan Mat Din dalam bentuk puisi sebagai penghargaan kepada idolanya, Tun Mahathir.
Kini, selepas menyaksikan sejarah pembentukan Malaysia baharu pada 9 Mei lalu, Aizat merasakan sudah tiba masanya Harapan Jadi Nyata diketengahkan kerana sesuai dengan percaturan semasa.
“Bapa saya sememangnya seorang penyokong tegar Tun Mahathir dan lagu ini boleh diibaratkan sebagai hadiah daripada seorang rakyat kepada pemimpin yang diseganinya.
“Sudah lama saya mencari waktu sesuai untuk melancarkan single ini dan apabila Tun Mahathir kembali menjawat jawatan Perdana Menteri, saya rasa tiada waktu lain yang lebih sesuai daripada sekarang,” katanya pada majlis pelancaran klip video lagu tersebut di pejabat Warner Music, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Aizat berharap pelancaran lagu berkenaan juga mampu menjadi suntikan semangat kepada bapanya untuk pulih daripada serangan angin ahmar sejak setahun lalu.
“Bapa kini lumpuh sebelah badan pada bahagian kanan dan tidak mampu untuk bertutur atau menelan makanan seperti biasa. Saya sangat berharap bapa akan gembira apabila lirik tulisannya buat Tun Mahathir sudah disempurnakan menjadi sebuah lagu dan menguatkan lagi semangatnya untuk sembuh,” ujarnya.
Tidak kisah
Biarpun niat penghasilan dan pelancaran Harapan Jadi Nyata tiada kaitan dengan sensitiviti mana-mana parti politik, namun Aizat sudah bersedia sekiranya lagu berkenaan dikritik sesetengah pihak.
Aizat juga lebih senang jika single berkenaan dikategorikan sebagai lagu patriotik selari dengan tanggungjawab sosialnya selaku anak seni. Dia juga sedar, kecaman sudah menjadi lumrah pada zaman teknologi tanpa batasan kini.
“Saya tahu pasti akan timbul cakap-cakap orang berkenaan lagu ini yang mungkin menampakkan saya menyokong parti politik tertentu, namun ingin saya tegaskan, lagu ini adalah berkenaan Tun Mahathir selaku seorang pemimpin Malaysia secara peribadi.
“Ia menceritakan tentang aura dan kepimpinan Tun Mahathir selama memacu Malaysia sejak bergelar Perdana Menteri pada 1981 dan tahun ini. Ia langsung tiada kaitan dengan isu politik,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Aizat juga menaruh harapan agar Tun Mahathir berpeluang mendengar lagu ciptaannya dan berbesar hati jika sudi melawat bapanya yang sedang terlantar di rumah.
“Kalau Tun datang melawat, mungkin dia akan terus sihat kerana terlalu gembira,” tutup Aizat berseloroh.