Semangat baharu Nora Ariffin


Penyanyi Nora Ariffin sudah boleh menarik nafas lega kerana berjaya menyempurnakan hasrat terakhir arwah suami yang tidak kesampaian untuk menghasilkan sebuah album sebelum meninggal dunia secara mengejut pada subuh 24 Mac tahun lalu kerana serangan jantung.

Album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi sempena ulang tahun ke-30 pembabitan komposer itu dalam industri telah selamat dilancarkan dalam baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang pelancaran album tersebut, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafiza Ariffin memberitahu, ia merupakan hasrat yang diluahkan arwah sejak tahun 2016 lagi.

“Jika diikutkan, perancangan untuk mengeluarkan album ini adalah pada tahun lepas tetapi terpaksa ditunda kerana saya terlalu sibuk dengan kerja lain. Sejak arwah pergi, sayalah yang mengambil alih segala tugas harian.

“Apabila ada masa terluang pula, selalunya perasaan saya terganggu kerana menangis dan asyik mengenangkan dia. Akhirnya ia memakan masa sehinggalah sekarang baru dapat direalisasikan,” ujar Nora yang mulanya berdepan kesukaran menerima takdir kematian suaminya.

Cuma selepas edah, barulah Nora mendapat kekuatan untuk bertemu masyarakat bagi meneruskan karier seninya.

Beritahu Nora juga, idea untuk meneruskan pembikinan album tersebut muncul sejurus tamat tempoh menjalani edah.

Pada majlis itu juga, Nora turut melancarkan sebuah lagu baharunya berjudul Ada Dalam Tiada ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen, manakala liriknya pula ditulis oleh komposer tersohor Habsah Hassan.





Legasi

Meskipun mengambil masa yang lama, namun Nora tegar meneruskan impian tersebut kerana tidak mahu legasi Johan Nawawi terus terkubur begitu sahaja.

Sebagai isteri dan orang seni yang sayangkan bakat serta hasil kerja Johan, Nora sedar peranannya mengambil alih tanggungjawab tersebut bagi memastikan hasrat arwah dapat direalisasikan.

“Kalau saya tidak buat, sampai bila-bila pun mungkin tiada siapa akan lakukan. Pada masa sama, album ini menampilkan banyak karya yang dibuat Johan selama bergelar komposer.

“Selama ini orang selalu ingat dia hanya buat lagu untuk saya. Sebenarnya tidak. Ada banyak lagu artis lain antaranya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Kris Dayanti, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim dan Aishah yang pernah Johan hasilkan,” katanya.

Dalam album yang memuatkan sebanyak 31 buah lagu tersebut, terselit sebuah lagu yang paling memberi kesan buat ibu beranak empat itu.

Berjudul Bidadari, istimewanya lagu tersebut merupakan nyanyian Johan sendiri yang dirakamkan sebulan sebelum arwah pergi meninggalkan keluarga tercinta.

“Lagu ini asalnya hanyalah demo tetapi apabila mendengarnya semula, saya tidak sangka arwah menyanyikannya dengan betul-betul. Selama ini dia memang tidak pernah menyanyi dengan betul. Sebab itu timbul idea untuk menyiapkannya menjadi sebuah lagu yang lengkap dengan menyudahkan susunan muzik.

“Kalau mahu simpan untuk sendiri, saya boleh sahaja lakukannya kerana sebagai isteri, ia sangat bernilai. Namun memikirkan kami sama-sama pejuang dalam industri, saya fikir lebih baik ia dikongsi dengan khalayak.

“Pada masa sama saya mahu orang dengar inilah suara dan nyanyiannya. Ini adalah hasil karya terakhir Johan sebelum dia pergi,” ujar Nora bernada sebak.

Lebih setahun berjuang sendiri mengusir kesunyian tanpa suami di sisi, Nora semakin kebal memujuk hati agar tidak terus lemas dalam air mata kesedihan.

Hajat

Menyandarkan kekuatannya terhadap anak-anak yang dikasihi, wanita berusia 45 tahun itu nekad terus memandang ke hadapan berbekalkan cinta dan semangat yang ditinggalkan sang suami.

Ditanya perkembangan kariernya setakat ini, pelantun lagu Dendam Dalam Diam itu berkata, kehidupannya kini terisi dengan kesibukan menguruskan dua buah syarikat peninggalan Johan.

“Setiap hari saya keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam. Kehidupan saya kini sangat sibuk kerana menggalas tugas sebagai ayah dan ibu dalam satu masa yang sama.

“Biarpun sangat mencabar tetapi saya bersyukur kerana kesusahan yang dihadapi sekarang adalah dalam keadaan selesa,” ujarnya ceria di sebalik getar suara yang cuba ditahan.

Meskipun sudah boleh menarik nafas lega kerana hasrat suami sudah tertunai, namun jauh di lubuk hati Nora masih ada banyak perkara yang ingin dilakukannya.

Sebagai anak seni yang kasihnya memang tertumpah dalam bidang ini, Nora seboleh-bolehnya mahu terus memperjuangkan legasi seni Johan.

“Kalau Johan masih ada pun, saya tahu dia mesti impikan lagu-lagunya dipersembahkan menerusi konsert mini dan itu memang menjadi impian saya.

“Cuma buat masa ini, saya tidak boleh kata apa-apa sebab segalanya terletak pada rezeki. Kalau diberi peluang, insya-Allah saya mahu gabungkan penyanyi lama dan baharu memandangkan Johan sendiri pernah menyuarakan hasrat untuk bekerja dengan bakat baharu,” ujarnya yang turut mengimpikan untuk mengadakan konsert mini pada masa akan datang.

Post a Comment

Previous Post Next Post