Doa Yana Samsudin buat ibu bapa bekerja


Saya sendiri sebagai ibu, ada perasaan paranoid dengan pembantu atau pengasuh kerana anak tiada di depan mata.

“Oleh yang demikian, saya jaga sendiri anak, bergilir-gilir dengan suami. Mujur kami bekerja sendiri, selain ahli keluarga banyak membantu untuk memantau anak saya. Terima kasih semua yang terlibat.”

Itu antara bait-bait ayat yang keluar daripada mulut pelakon cantik, Yana Samsudin saat diajak berbicara mengenai kematian bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang ditemui mati di dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor sehingga menyebabkan suhu termometer pijar baru-baru ini.

Kata ibu kepada Aisy Mateen, 2, itu, sungguhpun begitu, rezeki setiap manusia itu tidak sama. “Tapi, rezeki manusia berbeza. Ada suami isteri terpaksa bekerja terikat dengan majikan. Anak kena tinggalkan kepada pengasuh atau taska.

“Saya faham, malah ramai rakan artis yang ada pembantu rumah pun tetap usung pembantu berkenaan dan anak ke hulu ke hilir kerana bimbang keselamatan anak mereka,” jelasnya.





Bagaimanapun, isteri kepada adik pelakon Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari itu berkata, bukan mudah baginya untuk bercakap bagi pihak seluruh ibu bapa.

“Saya tahu bukan mudah nak bercakap bagi pihak seluruh ibu bapa yang bekerja kerana bukan berada di tempat mereka. Saya sendiri mengambil keputusan untuk tidak aktif berlakon kerana nak besarkan anak depan mata.

“Apa pun, saya doakan yang baik-baik buat ibu bapa yang berjihad keluar bekerja, jihad membesarkan anak-anak. Semoga semuanya dimudahkan urusan dan dilimpahkan rezeki. Sentiasa ingat dunia ini pinjaman dan sentiasa percaya qada dan qadar,” katanya yang turut memberikan tip kepada ibu bapa dengan sentiasa amalkan zikir selawat.

Dalam pada itu, jauh di sudut hati Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin berharap, pihak berwajib seperti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mewajibkan penubuhan taska di tempat kerja.

Selain itu, harapannya juga adalah supaya si pesalah mendapat hukuman yang setimpal daripada sudut undang-undang.

Bercakap mengenai perkembangan kerjayanya pula, Yana memberitahu, dia kini aktif mengacara.

“Saya aktif mengacara CJWowShop dan rancangan sendiri iaitu #TheWowShow yang masing-masing bersiaran setiap hari Isnin pada pukul 1 tengah hari di TV3 dan Khamis pukul 10 pagi di TV9.

“Selain itu, sebuah drama akan ditayangkan di TV1 berjudul Cinta Maya pada pukul 7 malam setiap Jumaat hingga Ahad,” ujar Yana menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post