![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgy3hQe5mZB9UQqQ1oZDaocVXNYnqs83LW4FLhyXws9pCtrpFHWYSZCEkdm0fO42rbCCwkV653pBrNfyijtLAEJ-V0Wq8BKFjM6VzcEdEMRcR_MJxhzH1XrlThQ9tRgcDyIN3CMTRNe2tI/s1600/Reen+Rahim.jpg)
“Mereka tidak kenal saya tetapi menghukum dan mencerca sewenang-wenangnya. Niat menegur itu baik dan terpuji, namun cara teguran itu tidak sesuai.”
Demikian keluh pelakon cantik, Reen Rahim selepas menerima kecaman hebat dan komen berbaur lucah daripada netizen yang melihatnya berpakaian seksi ketika bercuti ke Santorini, Greece, baru-baru ini.
“Menjadi kealpaan saya apabila berkongsi gambar-gambar begitu di Instagram. Sebagai manusia biasa, saya juga melakukan kesilapan.
“Bagaimanapun, andai cara menegur itu beradab dan bersantun, tentu akan jadi lebih efektif kepada saya,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Terdahulu, Reen ada berkongsi beberapa keping gambar dirinya yang memakai gaun pendek berwarna putih ketika bercuti di luar negara baru-baru ini.
Ironinya, perkongsian gambar itu membuatkan diri pelakon berkenaan dikecam kerana berpenampilan seksi.
Pelakon drama Geng Tadarus itu akhirnya menutup ruangan komen di Instagramnya selepas dibanjiri komen negatif.
Mengulas lanjut, kata Reen, dia bagaimanapun berterima kasih pada mereka yang menegurnya dengan cara baik.
“Bukankah lebih manis jika kita saling hormat-menghormati? Bagi yang menegur dengan baik dan mendoakan saya yang baik-baik, terima kasih dan Insya-Allah,” luahnya.
Pada masa sama, ada peminat yang tertanya-tanya mengenai gerangan lelaki yang turut bercuti bersama Reen di sana.
Malah, pelakon berusia 30 tahun itu juga tanpa berselindung berkongsi gambar lelaki bernama Azree Rashid itu dengan kapsyen seolah-olah jejaka itu merupakan kekasih hatinya.
“Pasal jejaka itu, no comment. Cuma nak minta doa yang baik-baik daripada semua,” ujar Reen ringkas yang enggan mendedahkan status hubungannya dengan lelaki itu buat masa ini.
Dalam perkembangan lain, pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim itu kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Terlanjur Mencintaimu 2 untuk siaran RTM.
Menurut Reen lagi, selepas ini dia akan memasuki set penggambaran drama bersiri, Raisha untuk TV3 pula.
“Pada masa sama, drama lakonan saya yang berjudul Suri Ram kini ditayangkan di Astro Prima, setiap Rabu pukul 11 malam. Dalam drama berkenaan, saya bawa watak utama bernama Suri Ram,” ujarnya yang mengakui drama berkenaan memberi kepuasan kepada dirinya kerana ia bergenre seram.
Sering berlakon dalam drama yang disiarkan di RTM dan TV3, Reen juga bersyukur kerana diberi peluang untuk mengembangkan lakonannya menerusi siaran di Astro pula.