![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMTu7iSeVpt5MDsT5giwJHGiyiQPrqFSZvKa5AbmOh826ayYN220yb1GvZJkjPmkb4A0_RY77F8VXS5iSpgi8HRqlj7pWFWjeOw-GvhyphenhyphenCoGuSQxL5ZSSkSHOxLI8d14XtJdUoZjAjwkY8/s1600/Maya+Karin.jpg)
Maya Karin sememangnya satu nama yang cukup besar dalam industri hiburan tempatan. Sudah berkelana dalam dunia seni hampir dua dekad lamanya sejak kemunculan sulung menerusi filem Seri Dewi Malam pada 2001, sehingga ke hari ini, Maya masih kekal bertahan.
Bukan sekadar ada dalam bentuk fizikal, sebaliknya dia antara anak seni yang berjaya membuktikan dirinya masih kekal relevan biarpun semakin ramai muka baharu yang datang silih berganti menguak pintu industri yang menjadi periuk nasinya selama ini.
Maka, tidak hairanlah pada usia mencecah 39 tahun, Maya masih lagi menjadi pilihan utama barisan penerbit yang mahukan bakat yang ada pada dirinya untuk diketengahkan sebagai teraju utama dalam karya-karya penerbitan mereka.
Sungguh pun begitu, bagi Maya sendiri, dia mengakui dirinya cukup selektif dalam setiap naskhah yang ditawarkan kepadanya. Atas sebab itulah, bukan mudah untuk melihat kelibat dirinya muncul dengan hasil kerja yang baharu pada setiap tahun.
Situasi itu secara tidak langsung ada yang meletakkan pemenang anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 menerusi filem Ombak Rindu itu mempunyai nilai eksklusifnya tersendiri.
Munafik 2
Bahkan, selepas lebih tiga tahun tidak muncul dengan filem baharu, aktres berdarah campuran Melayu-Jerman itu kini menantikan buah tangan baharu yang dilihat menjadi projek mega dalam karier seninya selepas lama menyepi daripada keluar di layar perak. Kali terakhir wajahnya menghiasi panggung menerusi filem Jwanita pada 2015.
“Saya memang agak memilih satu-satu karakter yang ditawarkan. Bukan apa, sebolehnya, saya cuba elakkan untuk membawakan watak yang sama sahaja dalam lakonan. Sebolehnya, saya mahukan setiap lakonan itu memberikan impak berbeza kepada penonton.
“Cabaran dalam membawakan watak berlainan dan menepati kehendak diri itu jugalah yang memberikan kepuasan kepada saya untuk terus berkarya. Pada masa sama, secara tidak langsung saya dapat melihat kemampuan dan potensi diri dalam memberikan sesuatu yang lain kepada penonton di luar sana dengan bakat lakonan yang ada,” kongsinya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Justeru katanya, Ogos depan menjadi antara bulan yang menjadikan dirinya cukup sibuk apabila bakal muncul dengan sebuah naskhah besar, Munafik 2 yang sudah lama dinanti-nantikan. Baginya, karya itu merupakan projek tumpuannya pada tahun ini apabila ia melibatkan kerjasama dengan nama-nama penggerak seni yang cukup besar.
“Agak lama saya tidak ke set filem, sampaikan saya sendiri pun akui masih timbul rasa gementar apabila berada di set penggambaran. Maklumlah, ia merupakan pertama kali saya bekerjasama dengan Syamsul Yusof selaku gandingan pelakon utama. Bukan sebagai gandingan sahaja, bahkan Syamsul juga mengarahkan filem itu. Bukan itu sahaja, saya juga berpeluang untuk bekerja dengan Nasir Bilal Khan buat pertama kali,” cerita pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu.
Biarpun pertama kali bekerja dengan pengarah muda berusia 34 tahun itu kata Maya, dia cukup mengagumi cara kerja yang dipraktikkan Syamsul. Menyifatkan anak sutradara terkenal Datuk Yusof Haslam itu sebagai seorang yang cukup terperinci dalam setiap aspek.
“Dia seorang yang komited dalam melaksanakan tugasnya selaku pengarah dan pelakon. Pada saya sendiri, ia bukan sesuatu tugas yang mudah untuk dijayakan apabila berada di dua kerusi pada satu masa. Itu sesuatu yang saya kagum mengenai dirinya.
“Bukan itu sahaja, jika ada satu-satu hal itu tidak menepati kehendaknya, ia akan dilakukan berulang kali sehingga dia betul-betul puas hati. Itu yang menyebabkan jadual penggambaran sedikit panjang. Dia sentiasa mahukan yang terbaik dalam hasil kerjanya,” katanya yang membawakan watak sebagai Sakinah.
Album duet
Sementara menunggu kemunculan filem Munafik 2, kata Maya dia juga sudah menyusun atur perancangan tersendiri bagi karier nyanyiannya. Selepas menerbitkan tiga buah album Erti Cinta pada 2001, Bukan Qalamaya (2004) dan Teka-Teki (2014), Maya memberitahu dia mahukan sesuatu yang segar dalam portfolionya sebagai seorang penyanyi.
Justeru, katanya, dia kini dalam proses menyiapkan album penuh yang disifatkan cukup istimewa apabila menampilkan dirinya berduet bersama rakan-rakan artis lain yang cukup mempunyai pengaruh dan nama besar dalam industri muzik.
“Album tersebut tidak mempunyai judul lagi. Cuma, apa yang saya boleh kongsikan bahawa album itu merupakan kolaborasi saya bersama rakan-rakan. Boleh dikatakan ia sebuah album Maya dan rakan-rakannya.
“Saya tertarik dengan idea sebegini apabila dapat menghimpunkan bersama-sama rakan satu industri yang sama-sama berjuang dalam bidang muzik ini dalam satu naskhah. Bagi saya ia merupakan sesuatu yang unik dan satu bentuk pengiktirafan kepada saya apabila berpeluang bekerjasama dengan kawan sendiri.
“Jadi secara tidak langsung, album itu nanti menjadi hadiah istimewa, bukan sahaja buat saya, tetapi buat kawan-kawan saya yang lain untuk kita kongsikan bersama peminat di luar sana,” kata pemenang Pelakon Filem Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 itu.
Kongsi Maya, buat masa ini dia sudah selesai menjalani rakaman lagu duet bersama penyanyi Awi Rafael dan Kaka Azraff.
“Kaka akan rap dalam lagu kami itu. Manakala, bersama Awi, saya menyanyi secara berduet dengannya. Apa yang saya boleh katakan, ia satu pengalaman menyeronokkan kerana banyak perkara baharu dan ilmu yang saya pelajari apabila kita menyanyi bersama orang lain.
“Bukan itu sahaja, saya juga akan bekerjasama dengan komposer dan penyanyi Aizat Amdan dalam album itu nanti. Album itu merupakan sesuatu yang tidak sabar untuk ditunggu-tunggu hasilnya nanti kerana kolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri,” kongsinya yang memberitahu bakal terlibat dengan sebuah filem Mandarin berjudul Olympic Dream.