Asfan Shah sedia dikritik


Asfan bersedia dikritik mengenai mutu lakonannya dalam telefilem Formula Cinta.

Pernah merasakan dunia lakonan tidak kena dengan jiwa seninya, ternyata pandangan penyanyi Asfan Shah mula berubah apabila memberanikan diri menerima tawaran berlakon dalam telefilem Formula Cinta yang bakal ditayangkan bulan ini.

Asfan atau nama sebenarnya, Norasfan Shah Shah Rudin, 33, berkata, pada mulanya dia berbelah bahagi untuk memberikan persetujuan selepas ditawarkan peluang tersebut oleh pengarah telefilem itu iaitu Azmi Hatta, namun berasa sudah tiba masanya dia mencuba sesuatu yang baharu.

Mempunyai sekali pengalaman berlakon semasa tahun 2012 bersama Hanis Zalikha, pelantun lagu Sumpah Cintaku itu mengakui cabaran berbeza antara menyanyi dan berlakon biarpun ia dalam satu dunia sama.

Bersyukur kerana mempunyai tenaga produksi yang banyak memberinya tunjuk ajar sepanjang proses penggambaran, Asfan kini semakin terbuka untuk menerima tawaran berlakon yang sesuai di masa hadapan.

KOSMO!: Apakah cabaran paling besar buat Asfan apabila berlakon?

ASFAN: Pada saya, komitmen yang diberikan oleh seorang pelakon itu sepanjang menjayakan wataknya. Jika menyanyi, habis persembahan makan malam, tamatlah tugasan saya. Berbeza dengan lakonan, ia mengambil masa berhari-hari dan momentum penjiwaan watak yang tidak terganggu.

Barulah saya tahu bagaimana susahnya seorang pelakon menjiwai watak dan menghafal skrip untuk dipersembahkan kepada penonton.

Mengapakah anda bersetuju menerima tawaran Formula Cinta?

Kali ini saya rasa sudah lebih bersedia terutama setelah saya mengambil kelas lakonan dengan Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud sebagai persediaan untuk telefilem ini.

Saya akui pernah mengatakan lakonan bukan jiwa saya namun, apabila sudah ada yang percaya saya boleh lakukannya jadi saya rasa saya patut sekurang-kurangnya mencuba.

Alhamdulillah, seiring dengan kematangan usia, perlahan-lahan minat itu datang sendiri.





Adakah ini bermakna anda bakal bergiat aktif dalam dunia lakonan selepas ini?

Jika ada rezeki dan tawaran, apa salahnya, namun saya akui saya agak selektif dalam pemilihan watak. Kalau boleh, saya mahukan karakter yang berbeza dengan diri saya yang sebenar, barulah ada cabaran bila berlakon.

Namun begitu, nyanyian masih lagi keutamaan dan saya tidak akan melupakan bidang ini biarpun sudah semakin diterima dalam lakonan.

Bagaimana pula dengan kesediaan anda untuk dikritik peminat apabila mengembangkan sayap ke bidang lakonan?

Menjadi mangsa kritikan terutama dalam media sosial sudah menjadi suatu perkara biasa dalam industri seni sekarang, jadi saya sudah bersedia sama ada mahu atau tidak. Saya berharap dengan kritikan akan lebih membantu saya dalam memperbaiki mutu lakonan pada masa hadapan.

Bercakap soal nyanyian, kebanyakan lagu anda semakin popular apabila dijadikan runut bunyi drama. Adakah anda tidak kisah digelar penyanyi runut bunyi sahaja?

Tidak langsung kerana itu adalah punca rezeki juga. Bagi saya, jika lagu popular kerana sebuah drama, maka itu satu bonus kepada saya terutama dari segi pemasaran kerana ia akan lebih kerap dimainkan di kaca televisyen.

Saya akui selepas Sumpah Cintaku mendapat sambutan luar biasa, ramai penerbit meminta saya untuk menghasilkan lagu khas untuk drama-drama mereka.

Ia satu tanggungjawab dan cabaran besar buat saya kerana ia mempunyai risiko tinggi memandangkan lagu itu berkait rapat dengan keseluruhan jalan cerita sesebuah drama, namun saya sentiasa cuba berikan yang terbaik.

Jika tidak keberatan, bolehkah anda memberi sedikit komen tentang perselisihan faham dengan Haqiem Rusli yang mendakwa satu daripada lagu ciptaan anda tidak original?

Saya enggan memanjangkan isu ini kerana perkara sudah lepas dan Haqiem juga sudah memohon maaf kepada saya secara peribadi.

Sebenarnya tiada isu besar tentang hal ini, cuma netizen sahaja yang menjadikan ia hal sensasi.

Apakah projek terbaharu anda sekarang?

Saya kini giat mempromosi single baharu, Fatamorgana Cinta yang baru dilancarkan beberapa bulan lepas.

Saya sebenarnya agak risau lagu ini masih dibayangi oleh Sumpah Cintaku, namun berharap peminat memberikan sokongan padu kepada single ini sama dengan karya saya sebelum ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post