Antman and The Wasp rungkai seribu persoalan


Sewaktu filem Antman ditayangkan di pawagam seluruh dunia tiga tahun lalu, tiada siapa menyangka bahawa ia bakal menjadi sebuah karya pecah panggung dan meletakkan karakter tersebut sebaris dengan naskhah-naskhah adiwira Marvel Studios lain seperti Batman, Superman, Spiderman dan Thor.

Tidak mahu menghentikan keterujaan dan pengkisahan adiwira bernama Scott Lang lakonan Paul Rudd selaku Antman, filem sekuelnya, Antman and The Wasp edaran Walt Disney Studios Motion Pictures akan ditayangkan mulai hari ini (4 Julai).

Apabila menyebut nama Paul Rudd, pasti ramai tidak dapat mengikis perwatakan jejaka yang manis, lucu dan lurus daripada ingatan terutama bagi peminat filem popular 90-an, Clueless.

Biarpun beliau sudah mengangkat dirinya ke satu tahap lain dengan memegang karakter Antman, namun Rudd masih mengekalkan aura serupa. Pada masa sama, dia masih mampu tampil sebagai penyelamat dunia yang disegani.

“Jika tidak silap, sejak beberapa tahun lepas, pihak Marvel Studios sudah mula menjadikan elemen humor sebagai intipati yang penting dalam karakter adiwira kerana ia menjadikan watak mereka lebih hidup.

“Saya tidak mengubah perwatakan sebenar diri untuk menjadi adiwira kerana saya sukakan idea menjadi seorang ‘penyelamat’ yang merupakan seorang lelaki biasa dengan masalah kehidupan seperti orang lain.

Ia menjadikan karakter itu lebih dekat dengan penonton dan lebih mudah disayangi,” kata Rudd membuka bicara sewaktu ditemui pada sidang media yang dihadiri oleh wakil media dari Asia Pasifik di Hotel Mandarin Oriental, Taipei baru-baru ini.

Pada sidang media yang turut dihadiri oleh seorang lagi karakter utama naskhah ini iaitu Evangeline Lily, Kosmo! menjadi satu-satunya akhbar dari Malaysia yang diterbangkan ke Taipei untuk menghadiri temu bual eksklusif tersebut pada 10 hingga 14 Jun lalu.





Jawapan

Bagi peminat filem siri Marvel Studios, pasti sudah ramai yang menonton The Avengers: Infinity War (Infinity War). Soalan klise yang akan diajukan adalah di manakah Antman sewaktu hampir semua adiwira dunia dikumpulkan dalam karya tersebut?

Rudd hanya tertawa dan memberitahu, dia juga sudah dihujani pertanyaan sama daripada peminat kerana ada yang berasa Antman juga merupakan adiwira yang patut turut serta dalam perangan menyelamatkan dunia.

Katanya, segala jawapan yang peminat ingin tahu tentang ke mana hilangnya Antman sewaktu Infinity War bakal diketahui menerusi Antman and The Wasp, sekali gus menepis segala khabar angin berkenaan misteri kehilangannya daripada filem tersebut.

“Sekuel ini juga bakal memperlihatkan bagaimana Lang membuat keputusan. Adakah dia mahu menjadi adiwira sepenuh masa atau lebih menumpukan perhatian untuk bergelar bapa kepada anaknya, Casey yang sudah lama terabai sewaktu dia berada dalam penjara dahulu.

“Secara jujurnya, dilema yang dihadapi oleh Lang turut dialami oleh semua orang di dunia sebenar apabila perlu membuat keputusan antara kepentingan kerjaya dengan keperluan keluarga. Tidak kira kita ialah adiwira atau orang biasa, kita sering berdepan dengan pilihan ini di dalam hidup,”jelasnya lagi.

Turut bersetuju dengan kenyataan tersebut ialah Evangeline Lily yang membawakan watak Hope Van Dyne selaku The Wasp. Aktres itu memberitahu secara peribadi, dia tidak pernah menyangka filem itu telah mengumpul begitu ramai peminat tersendiri di seluruh dunia.

Ditanya tentang tekanan berkenaan sambutan yang bakal diterima bagi sekuel ini, Lily secara berseloroh berkata jika ia gagal puncanya pasti disebabkan dirinya memandangkan beliau membawakan watak The Wasp, adiwira baharu di dalam filem ini.

“Rudd sudah berjaya membuktikan betapa Antman disayangi menerusi kejayaan filem pertama. Jadi, saya agak berdebar untuk melihat penerimaan peminat terhadap The Wasp.

“Namun, saya percaya setiap filem itu mempunyai keistimewaan masing-masing dan seluruh produksi Antman and The Wasp sudah memberikan yang terbaik sepanjang penggambaran,” ujarnya lagi.

Melengkapi

Menerusi Antman and The Wasp arahan Peyton Reed ini, Lily turut diberikan penghormatan menjadi adiwira wanita pertama Marvel Studios yang mempunyai musuh sendiri iaitu Ghost (Hannah John-Kamen).

Menyifatkan ia sebagai suatu penghargaan besar buat dirinya, Lily memberitahu, itu tidak menjadikan karakternya jauh lebih penting daripada Rudd atau Antman sendiri. Sebaliknya, mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

“Saya berbangga kerana pertama kali membawakan watak adiwira dan sudah mempunyai musuh sendiri namun sebagai satu pasukan, Antman and The Wasp saling membantu dalam menewaskan musuh kami berdua.

“Sepanjang penggambaran, kami melalui satu pengalaman yang sangat seronok dan ia tidak akan dapat dilakukan jika Antman and The Wasp tidak berganding bahu dalam setiap pertempuran,” jelasnya satu per satu.

Menurut Rudd yang juga bertindak sebagai seorang daripada penulis jalan cerita filem ini, beliau yakin Antman and The Wasp dapat menawan hati peminat kerana ia digarap dengan plot yang berbeza serta lebih banyak aksi diselitkan.

“Antman and The Wasp bukan sekadar filem adiwira tetapi turut menyelitkan nilai-nilai kehidupan yang dilalui oleh kita semua tentang keluarga, rakan-rakan dan tanggungjawab pada dunia,” simpulnya sambil menutup perbualan.

Selain Rudd dan Lily, Antman and The Wasp turut dibintangi oleh Michael Douglas, Michelle Pfeiffer, Hannah John-Kamen, Laurence Fishburn dan Micheal Pena.


Post a Comment

Previous Post Next Post