
Sudah menjadi lumrah bagi kebanyakan pelakon tempatan mengimpikan sebuah telefilem yang ditayangkan untuk tontonan khalayak pada musim perayaan.
Masakan tidak, lihat sahaja impak luar biasa yang pernah ditinggalkan oleh beberapa naskhah hebat seperti Pondok Buruk, Daun Ketupat Kering, Rumah Tengah Sawah dan Takbir Suci belasan tahun lalu.
Sehingga ke hari ini, rangkaian telefilem yang kebanyakannya menampilkan jalan cerita tentang realiti kehidupan masyarakat Melayu tersebut masih diulang siar di kaca televisyen.
Bagaimanapun, fenomena sebegitu tidak lagi berlaku sejak teknologi mengambil alih saluran hiburan konvensional, khususnya dari segi penerbitan rancangan bagi siaran televisyen.
Transisi yang mula dilihat kesannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini diakui oleh pelakon dan penyanyi Ayda Jebat.
Menurut pelantun lagu Bagai Pelangi itu, masyarakat zaman sekarang terlalu bergantung pada media sosial dan menerusi kecanggihan teknologi, penonton sudah boleh memilih masa yang sesuai untuk menyaksikan rancangan kegemaran, tanpa perlu menunggu di hadapan televisyen.
Kurang impak
“Tidak dinafikan, suatu ketika dahulu naskhah-naskhah terbitan sempena hari raya mendapat tempat di hati penonton. Hal ini kerana, masyarakat pada waktu itu tidak mempunyai cabang hiburan lain dan hanya bergantung pada kandungan yang disiarkan televisyen.
“Kini, segalanya telah berubah. Selain sibuk bertandang ke rumah saudara-mara pada bulan Syawal, kebanyakan daripada kita juga terlalu akrab dengan media sosial dan platform penstriman sehingga melupakan televisyen sebagai saluran hiburan konvensional,” katanya.
Dalam pada itu, Ayda turut berpendapat bahawa naskhah yang ditayangkan pada hari raya juga bukan ukuran populariti pelakon yang terlibat.
“Jika ditanya secara peribadi, saya tidak kisah jika tiada telefilem lakonan saya ditayangkan pada hari raya.
“Bagi saya, jika seseorang itu sudah mempunyai peminat dan pengikut tersendiri, penyokongnya tetap akan memberikan sokongan walaupun bukan pada musim perayaan,” katanya yang hanya muncul dengan sebuah telefilem raya pada tahun ini berjudul Di Penghujung Sujud.
Beralih tentang kualiti yang ada pada sesebuah naskhah, Ayda menjelaskan, setiap telefilem perlulah unik agar ia memberi kesan walaupun telah bertahun-tahun ditayangkan.
“Apabila naskhah yang diketengahkan berkualiti dan para pelakon juga memberi persembahan sehabis baik, hasilnya ia akan diingati sehingga bila-bila.
“Sebaliknya, jika telefilem dibuat atas dasar mengisi slot tayangan semata-mata, mungkin generasi sekarang tidak akan mengingati karya tersebut pada masa akan datang,” katanya.
Promosi
Berkenaan usaha untuk mengembalikan semula fenomena naskhah-naskhah bertemakan hari raya, wanita berusia 26 tahun itu menyarankan setiap naskhah yang diterbitkan perlu disertakan dengan promosi.
Kata Ayda, strategi promosi yang bagus bakal memberi impak berbeza terhadap sesebuah telefilem.
“Seperti kita sedia maklum, media sosial merupakan platform terbaik bagi mempromosikan sebarang telefilem mahupun drama.
“Pada masa sama, jalan cerita yang ingin disampaikan perlulah bagus dan jika kena pada masa, naskhah tersebut pasti akan berjaya menambat hati penonton,” katanya positif.
Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Rindu Awak 200% itu, penerbit atau pengarah juga harus mengambil tahu tentang strategi promosi yang ingin diketengahkan.
“Sebagai contoh, Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo menggunakan platform Instagram sepenuhnya untuk mempromosikan telefilem mereka. Setiap hari, mereka akan memuat naik gambar di Instagram dan bercakap tentang drama terbitan dan arahan mereka.
“Tidak hanya itu, Sheila selaku penerbit juga kerap mengingatkan pelakon drama terbitannya untuk memuat naik gambar di Instagram dan meneruskan proses promosi,” ujar Ayda panjang lebar.
Filem
Melanjutkan bicara mengenai perancangan karier lakonannya, pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat itu mengakui rindu mahu kembali ke set penggambaran filem.
Tidak terlalu bersifat selektif, Ayda bagaimanapun mengimpikan watak yang sedikit lasak dan bertentangan dengan karakter yang pernah dijayakannya sebelum ini.
“Saya teringin untuk membawakan watak-watak ekstrem yang memerlukan saya berlatih berbulan-bulan sebelum memulakan penggambaran.
“Ia boleh dikira sebagai cabaran untuk diri sendiri. Sebelum ini asyik bawa watak sedih dan komedi, mungkin sudah tiba masanya untuk saya mengubah haluan dan mencuba watak yang sedikit berbeza,” jelas Ayda.
Selain watak-watak ekstrem, heroin filem Pinjamkan Hatiku itu turut terbuka untuk melakonkan filem bertemakan seram.
“Filem seram yang saya maksudkan tidak melibatkan hantu. Kalau boleh, saya mahu membawakan watak pembunuh atau perempuan gila,” katanya.
Berkongsi sedikit mengenai sambutan hari rayanya bersama keluarga baru-baru ini, Ayda berkata, dia dan adik-beradik menyambut kedatangan lebaran dalam suasana yang sangat sederhana.
Tiada persiapan mega dibuat memandangkan dia perlu menyambung penggambaran drama Cinta Bukan Kristal selepas tiga hari beraya di kampung halaman di Melaka.
“Seperti tahun sebelumnya, persiapan yang dilakukan tidak terlalu banyak. Cukuplah bersederhana tetapi masih dapat menikmati suasana hari raya,” katanya jujur.