Kalau ikutkan perancangan, Ramadan ini penyanyi Sufian Suhaimi sudah pun bergelar suami tapi apakan daya manusia hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan.
Pun begitu bagi Sufian, tarikh 23 Mac bukan saja mencatat sejarah pilu buat dirinya malah tarikh berkenaan turut membawa tuah kepadanya.
Ini kerana lagu Di Matamu yang dimuat naik dalam laman YouTube pada tarikh dia sepatutnya bernikah itu sehingga kini sudah mencecah 26 juta tontonan.
Menafikan yang lagu tersebut sebagai pengalaman yang dilalui Sufian kerana pernah diperdengar dalam laman sosialnya sebelum putus tunang dengan Elfira Loy, Sufian juga memberitahu, tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan mengenang kisah sedih cinta yang tidak kesampaian.
“Kalau ikut perancangan tahun ini saya puasa berdua. Beberapa persediaan pun telah dibuat tapi apakan daya kita hanya merancang. Namun banyak hikmah di sebalik percaturan Tuhan ini.
“Waktu ini, saya semakin faham yang kadang-kadang Tuhan tak beri yang kita nak tapi Dia bagi yang kita perlu,” katanya kepada Mega HITS ketika ditemui sewaktu rakaman program raya di Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya: “Alhamdulillah saya tenang dan gembira sekarang. Sokongan peminat dan orang sekeliling yang sentiasa memberikan idea-idea baharu sebenarnya membuatkan saya saya jadi lebih besar.
“Syukur, alhamdulillah sehingga sekarang saya menghargai orang sekeliling dan mereka yang dalam industri sebab tidak pernah putus asa dan percaya dengan saya,” katanya.
Mengenai dakwaan kononnya dia kembali ke pangkuan bekas kekasihnya, Sufian mengatakan bahawa berita itu tidak benar sama sekali dan dia kini masih solo dan lebih senang untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya.
“Sekarang ini saya bukan dalam fasa mencari tetapi tidak juga menutup pintu hati untuk kembali bercinta. Cuma saya ini jenis yang susah nak membenarkan orang ‘masuk’ dalam hidup.
“Yang saya ada saat ini adalah kawan-kawan yang sentiasa menyokong dan menemani saya, itu sudah cukup. Tak perlu terburu-buru mencari pasangan, lebih baik kita hargai apa yang orang buat terhadap kita daripada sibuk mencari orang baharu,” katanya yang menegaskan tidak memerlukan pengganti buat masa ini.
Tidak tuju kepada Elfira Loy
Pada 19 Mei lalu apabila Sufian tweet kapsyen berbunyi ‘publicity for cheap people’, ramai berpendapat dia menujukan kata-kata itu kepada bekas tunangnya.
Bagaimanapun tatkala diaju soalan itu, Sufian menafikannya.
“Semasa saya tweet perkara itu ada beberapa perkara yang berlaku dalam sosial media. Antaranya ada public figure yang tak hormati Ramadan, isu pelakon buat-buat bercinta untuk melariskan drama dan yang tampil dengan publisiti yang direka-reka untuk menjual karya masing-masing.
“Bagi saya itu bukan perkara yang cantik untuk kita praktikkan dalam industri,” jelasnya yang akan pulang beraya di Mersing dan Muar, Johor.
Tegasnya, kalau berkarya dan karya itu memang baik pasti diterima oleh ramai dan promosi adalah satu nilai tambah untuk karya tersebut.
Kata Sufian, publisiti yang direka-reka bukan sesuatu yang bernilai dan isu yang ditweet olehnya itu tidak ada kena mengena dengan Elfira yang kebetulan waktu itu muncul dengan kisah semakin mesra dengan pelakon baharu, Nabil Aqil.
Mencari yang terbaik
Selepas populariti lagu Di Matamu, dia bersama-sama teman baiknya, Sil Khan dan Rinkarnaen masih lagi mencari lagu yang sesuai untuk dijadikan single seterusnya.
“Sepanjang Ramadan ini saya cuba seimbangkan antara kerja dan keluarga. Lepas raya kami akan buat lampas otak untuk mencari lagu yang terbaik. Selagi saya belum temui lagu terbaik, selagi itu tidak akan ada single baharu,” jelasnya.
Sementara itu, sempena Ramadan ini, Sufian tampil dengan single raya, Kasih Lebaran yang dihasilkan oleh Sil Khan dan Rinkarnaen.
Jelasnya, lagu itu dihasilkan tahun lepas tapi tidak sempat untuk dipromosikan secara menyeluruh kerana diedarkan ketika hampir Syawal.
“Lagu Kasih Lebaran menampilkan mood gembira sesuai untuk raya tapi kalau kita lihat bait-bait liriknya ditujukan kepada mereka yang beraya tanpa keluarga. Harap lagu ini dapat memberi kesan kepada pendengar,” katanya.