Siti Nurhaliza lancar single duet


Meskipun tanggungjawab yang dipikul semakin bertambah dengan kehadiran puteri sulungnya, Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap meluangkan masa dengan kelab peminatnya, Siti Zoners baru-baru ini.

Program yang diadakan bagi mengeratkan silaturahim dan sambutan berbuka puasa diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu menjadi pertemuan manis apabila penyanyi kesayangan ramai ini turut melancarkan single duet terbarunya bersama Khai Bahar berjudul Cinta Sayang.

Kira-kira 200 peminat dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia hadir memeriahkan acara itu dan mengambil peluang berbuka puasa bersama Siti. Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar Pusat Tahfiz Teduhan Kasih Sungai Buloh.

Majlis yang berlangsung jam 5.30 petang itu dimulakan dengan sesi tazkirah bersama Pencetus Ummah (PU) Haris yang bercerita mengenai kebaikan amalan bersedekah dan menjaga hubungan baik sesama manusia terutama ibu.

Siti yang tiba dengan baju rona merah jambu dan biru gelap menarik perhatian ramai terutama peminat yang teruja melihat perubahan dirinya yang semakin kurus dan jelita.

Bertemu Siti usai majlis, dia meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan peminat terhadapnya selama ini.

“Peminat adalah ‘ramuan’ penting dalam resipi kejayaan anak seni. Tanpa mereka, pasti sukar untuk saya menempa nama. Tidak kiralah dalam apa lapangan sekali pun, peminat tunjang yang menyokong kebangkitan selebriti.

“Terima kasih diucapkan kepada Siti Zoners yang sudah lebih 15 tahun bersama saya dan diharapkan hubungan ini berkekalan.

“Tanpa sokongan dan dorongan peminat, tidak mungkin saya dapat mencapai apa yang ada sekarang. Peminat adalah inspirasi saya,” katanya.





Terharu dengan kesungguhan peminat

Sudah banyak kali berkumpul dengan peminat, Siti menyifatkan kesungguhan yang ditunjukkan golongan ini sebagai sesuatu yang sangat mahal.

“Saya mengagumi kesungguhan peminat yang tidak pernah penat menyokong saya.

“Sebagai contoh untuk majlis ini, ada yang datang dari Singapura, Brunei dan Indonesia semata-mata mahu berbuka puasa dengan saya sert menyaksikan pelancaran single Cinta Syurga.

“Tak terbalas apa yang mereka lakukan sejak dulu hingga kini. Mereka banyak memberikan kata-kata semangat ketika saya jatuh,” katanya.

Berbicara mengenai Cinta Syurga, Siti berkata ia diinspirasikan pihak pengurusannya selepas menonton video dua pelajar maahad di Johor mengalunkan melodi Comel Pipi Merah dengan ucapan zikir.

“Pihak pengurusan saya menghubungi pelajar terbabit dan berurusan dengan guru mereka, maka lahirlah single terbaharu bersama Khai Bahar ini,” katanya.

Kata Siti, gabungan bersama Khai adalah pilihan terbaik kerana anak muda itu berbakat besar dan boleh menyampaikan nyanyian dalam pelbagai genre.

“Saya pilih Khai sebagai rakan duet lagu ini. Senang berurusan dengan Khai, malah proses rakaman hanya mengambil masa satu jam sahaja,” katanya.

Siti turut menjelaskan dia tidak dapat memenuhi permintaan berduet dengan penyanyi lain bukan disebabkan tidak sudi sebaliknya masa tidak sesuai.

Siti berkata, beberapa faktor lain yang mungkin tidak menepati rancangan yang diatur bersama pengurusannya.

“Memang ada yang minta untuk berduet dengan saya, tetapi kami sudah ada perancangan tersendiri.

“ Insya-Allah kalau kena masanya saya terima.

“Saya tidak kisah sama ada penyanyi itu yang tawarkan diri atau saya yang pilih,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post