Insomnia Saya sebenarnya ada mengalami masalah insomnia hinggakan hanya boleh melelapkan mata selepas pukul 5 atau 6 pagi. Kartun Saya seorang penggemar kartun. Paling digemari adalah kartun Doraemon dan sebarang kartun terbitan Disney, tetapi tidak menggemari kartun anime. Rambut Sebelum keluar rumah, perkara paling penting ialah penampilan rambut. Sebelum keluar saya akan pastikan rambut didandan dengan baik. Bahkan, produk jagaan rambut lebih banyak berbanding produk wajah. Hitam Saya amat menggemari warna hitam. Bahkan, koleksi pakaian saya boleh kata 60 peratus berwarna hitam.
Andi berharap lagu single berjudul Tiada Lagi Maaf dapat diterima ramai.
Tidak pernah terfikir di fikiran penyanyi Andi Bernadee untuk meraih populariti dalam sekelip mata. Bagaimanapun, mungkin itulah tuah yang dimiliki anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu apabila nyanyian lagu cover Tak Tun Tuang yang dikongsikan di laman sosial menjadi tular baru-baru ini.
Dek penangan video tersebut juga, penyanyi berusia 26 tahun itu menerima tempias luar biasa. Mana tidaknya, sehingga kini, lagu nyanyian semula penyanyi asal Upiak Isil itu sudah mencecah jutaan tontonan di YouTube.
“Selepas video itu menjadi tular, memang rutin saya berubah. Bayangkan, hanya sekadar suka-suka pada mulanya, tidak sangka sampai sudah nak cecah 2 juta tontonan.
“Dek video itu juga orang mula kenal diri saya sebagai Andi Bernadee. Daripada situ, orang mula mencari nama saya di laman web dan barulah ada yang tahu saya sebenarnya sudah ada lagu sendiri berjudul Tiada Lagi Maaf,” katanya kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Menurut Andi, sejak nyanyian cover Tak Tun Tuang itu tular, dia mengakui menerima banyak undangan daripada pihak televisyen dan akhbar untuk menemu bual dirinya.
Bukan itu sahaja, dia juga berpeluang untuk bertemu sendiri dengan penyanyi sebenar lagu tersebut yang didatangkan khas dari Padang, Indonesia.
“Seronok dapat bertemu dengan penyanyi sebenar. Sewaktu mula berjumpa, dia pula menjerit melihat kemunculan saya dalam sebuah program televisyen.
“Barangkali dia terkejut apabila kami dipertemukan bersama selepas tahu lagunya itu tular di sini” kongsi penyanyi yang sudah mempunyai lagu single pertama bersama Warner Music Malaysia itu.
Jelas Andi lagi, dia mengakui dalam setiap persembahannya ketika ini, dia membawakan lagu Tak Tun Tuang sebagai lagu pengenalan.
“Orang kenal saya dengan lagu tersebut, jadi biasanya saya akan nyanyikan sedikit lagu itu. Jadi, secara tidak langsung, ia akan membuatkan orang dapat ingat bahawa saya merupakan individu dalam video tular itu.
“Bagaimanapun, pada masa sama, saya akan tetap menyanyikan lagu sendiri. Saya mahu orang kenal lagu saya juga,” ujarnya.
Jelas Andi, muzik video lagu Tiada Lagi Maaf juga kini sudah menerima respons positif dalam kalangan pendengar.
“Jujur saya cakap, sewaktu mula-mula, jumlah tontonan memang tidak seberapa. Bagaimanapun, selepas lagu Tak Tun Tuang tular, muzik video Tiada Lagi Maaf sudah lebih 100,000 tontonan.
“Jadi, ia satu perkembangan yang positif,” kongsinya yang memberitahu single Tiada Lagi Maaf kini sudah mula dimainkan di corong-corong radio.
Dalam pada itu, katanya, tidak muncul isu menumpang populariti lagu orang. Ini kerana, penyanyi asal lagu itu juga turut merasakan dirinya menumpang populariti yang diraih Andi secara tidak langsung.
“Upiak sendiri berbesar hati kerana dek video itu, dia juga ke negara ini dan diperkenalkan dengan peminat di sini,” kongsinya.