Sharifah Shahirah, Feeya Iskandar kongsi kisah lebaran


Sememangny Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang paling dinantikan oleh semua insan yang beragama Islam setelah sebulan tekun mengerjakan ibadah puasa.

Setiap orang di mana jua berada meraikan hari kemenangan itu dengan penuh kegirangan.

Pastinya setiap tahun juga, insan yang tidak terlepas daripada mendapat perhatian ramai adalah golongan selebriti.

Baik persiapan mahupun apa pun berkaitan raya golongan artis, pengikut setia pasti mahu mengikuti perkembangan mereka.

Minggu ini, Sensasi Bintang sempat menemu bual dua penyampai radio Suria FM yang sinonim dengan coleteh berkata-kata, Sharifah Shahirah dan Feeya Iskandar untuk berkongsi persiapan dan kisah lebaran mereka.

SENSASI BINTANG: Boleh kalian kongsikan akan beraya di mana dan berapa lama kalian akan cuti beraya pada tahun ini?

SHAHIRAH: Sama seperti tahun sebelum ini, kami sekeluarga beraya di Kuala Lumpur. Saya bercuti raya selama tiga hari bermula pada hari Jumaat lalu dan esok akan bertugas sebagai penyampai radio seperti biasa.

FEEYA: Sama seperti Syahirah, saya juga bercuti selama tiga hari bermula Jumaat dan akan bertugas kembali esok. Pada tahun ini, saya sekeluarga beraya di Pasir Gudang, Johor.

Setiap kali tiba raya, siapa yang paling teruja melakukan persiapan, kalian atau pasangan masing-masing?

SHAHIRAH: Daripada segi persiapan membeli baju raya, saya yang teruja, suami saya Zulkifli Azahari (Ijoy) tahu pakai sahaja dan akan bertanya apa warna baju raya pada tahun ini. Namun, Ijoy sangat teruja untuk menanti kehadiran orang ramai untuk beraya di rumah kami. Bagi berapa pasang baju pula, setiap tahun pada kebiasaannya, kami akan membeli lima pasang baju raya.

FEEYA: Sudah tentu, saya yang teruja. Kalau bukan hari raya pun saya yang teruja (ketawa). Suami tidak kisah cuma dia akan tentukan warna apa, berapa pasang dan dia yang akan membelinya. Pada tahun ini, warna baju raya untuk hari pertama, kedua dan ketiga sudah diputuskan. Semuanya sedondon.





Apa yang membuatkan kalian teruja untuk menyambut Raya tahun ini atau setiap kali menyambut kedatangan Aidilfitri?

SHAHIRA: Menunggu tetamu datang untuk beraya di rumah kerana setiap tahun rumah kami terbuka kepada semua tidak kira rakan-rakan artis, kenalan ramai dan orang luar. Tetamu mula datang dari pukul 12 tengah hari hingga 4 pagi.

FEEYA: Pastinya tahun ini, saya dan suami meraikan hari raya dengan orang baharu iaitu anak kedua saya yang selamat dilahirkan pada awal tahun ini. Dahulu bertiga sekarang berempat. Selain itu, rezeki saya juga beraya sebagai penyampai radio Suria FM pada tahun ini dan kami (penyampai Suria FM) ada rakam lagu raya sendiri iaitu Segalanya Lebih Bermakna.

Apa kenangan raya waktu kecil atau momen raya yang kalian tidak dapat lupa sehingga kini?

SHAHIRAH: Masa saya kecil dahulu, saya tidak sabar untuk beraya di rumah artis. Saya pernah beraya di rumah A.R. Badul, Mek Habsah dan Mazuin Hamzah.

FEEYA: Saya kena beraya di konti radio kerana giliran saya berkerja.

Pada pandangan kalian, apa beza lebaran dahulu dengan sekarang?

SHAHIRAH: Bagi saya, antara bezanya, anak saya kurang menghargai baju raya yang dibeli untuk mereka. Kalau dahulu, kita tak sabar nak bangun pagi nak pakai baju raya. Sekarang tidak lagi, mereka akan tanya kenapa perlu pakai baju raya. Bagi mereka, yang penting main permainan video.

FEEYA: Beza yang saya nampak, budak sekarang kurang gemar beraya dan sibuk dengan gajet. Ia berbeza dengan kanak-kanak zaman dahulu.

Post a Comment

Previous Post Next Post