Hari ini merupakan hari ketiga umat Islam menyambut hari lebaran sebagai hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa. Semestinya, rata-rata antara kita masih lagi dalam mood bercuti meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga tercinta.
Inilah masanya untuk kita semua merebut peluang untuk berkumpul beramai-ramai dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara sanak-saudara. Justeru, maka tidak hairanlah apabila ada yang mengambil kesempatan di bulan Syawal ini untuk berehat seketika daripada kesibukan kerja dalam tempoh yang agak lama.
Seperti kebanyakan insan lain, bulan Syawal juga merupakan bulan yang ditunggu-tunggu buat tiga penyanyi popular tanah air, Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Tajul Ariff. Bagi ketiga-tiga pelapis industri hiburan muzik tanah air ini, berhari raya merupakan satu momen yang sentiasa menjadi kenangan indah dalam hidup mereka.
Mana tidaknya, sudah menjadi kelaziman, inilah waktu yang sesuai buat mereka khususnya golongan selebriti melupakan seketika kesibukan urusan kerja di kota untuk berdamping bersama keluarga. Masa yang ada inilah selalunya yang akan digunakan mereka bertiga sehabis baik untuk meraikan hari lebaran yang kunjung tiba hanya setahun sekali sahaja.
Wany cuti seminggu
Bagi pelantun lagu hit Menahan Rindu itu, dia berharap kedatangan Syawal kali ini memberikan seribu kemanisan dalam hidupnya. Jika pada tahun lalu, kata Wany, dia terikat dengan jadual kerja yang padat sehingga terpaksa membuat persembahan di pagi Syawal, sebaliknya pada tahun ini, dia berpeluang untuk menikmati momen pagi Syawal bersama keluarga tercinta.
“Tahun sudah, pagi Syawal ada undangan persembahan yang perlu dilakukan di rumah-rumah terbuka, namun kali ini saya dapat pulang awal ke kampung halaman sebelah ibu yang terletak di Bagan Datok, Perak. Jadi, pada tahun ini, dapat lah saya merasa pagi raya di rumah nenek bersama ahli keluarga dan sanak saudara yang lain,” kongsi pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, pada tahun ini dia berpeluang untuk bercuti selama seminggu untuk menyambut Aidilfitri. Semestinya, masa yang ada itu jugalah akan dimanfaatkan untuk menziarahi keluarga dekat dan jauh.
“Dapatlah saya cuti lebih kurang seminggu untuk pulang ke kampung. Memang sudah menjadi rutin setiap kali Aidilfitri, saya dan ibu akan pulang ke kampung. Di kampung, dapatlah kita berkumpul beramai-ramai .
“Cumanya, kalau dahulu lebih meriah sedikitlah berbanding beberapa tahun belakangan ini. Sekarang ini opah sudah tiada, jadi saya rindu menyambut hari raya bersamanya. Kalau dahulu, arwah nenek akan menyediakan juadah untuk kami, sekarang ini, ibu saya pula yang akan menyediakan juadah raya,” kongsinya.
Menurut Wany lagi, Aidilfitri kali ini juga cukup bermakna apabila dia tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul Semarak Syawal. Lagu yang dihasilkan oleh komposer terkemuka, Pak Ngah itu sudah mula dimainkan sejak minggu akhir Ramadan lagi.
“Bukan setakat beraya sahaja, bahkan kali ini saya tampil juga dengan lagu khas Aidilfitri. Paling seronok apabila lagu itu merupakan hasil ciptaan komposer yang saya amat kagumi. Bahkan video muzik rasmi lagu itu juga diterbitkan untuk tontonan umum,” katanya yang memberitahu berhasrat untuk berduet dengan penyanyi tersohor Datuk Jamal Abdillah jika diberi keizinan pada satu hari nanti.
Haqiem sibuk bisnes
Bagi pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli itu pula, kedatangan Aidilfitri tidak jauh bezanya dengan tahun-tahun sudah. Jika Wany pulang ke kampung arwah neneknya, Haqiem pula memberitahu, rumah ibunya di Hulu Langat, Selangor menjadi lokasi tumpuan untuk ahli keluarga lain berkumpul di sana.
“Setiap kali tiba hari raya, menu yang paling saya tunggu adalah ayam masak merah hasil air tangan ibu saya. Menu tersebut menjadi kegemaran saya sejak kecil.
“Setiap tahun suasana beraya itu tidak banyak yang beza. Cuma, mungkin raya tahun ini semakin ramai lagi yang mula kenal diri saya. Insya-Allah jika diberi keizinan mungkin akan diadakan acara berjumpa dengan peminat-peminat untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama,” katanya.
Pelantun lagu hit Tergantun Sepi itu memberitahu, menariknya, kedatangan Syawal kali ini bukan sahaja sebagai penyanyi, sebaliknya dia bergelar ahli perniagaan juga.
Justeru, katanya, biarpun berehat daripada dunia nyanyian seketika pada Aidilfitri ini, dia tetap akan sibuk dengan perniagaan kedai permainan video yang diusahakannya. Ini kerana, katanya, dia sudah mula berkecimpung dalam bisnes tersebut sejak kira-kira sebulan yang lalu.
“Kalau kita perasan artis lain semua sibuk melakukan perniagaan barangan kosmetik atau jenama pakaian sendiri, sebaliknya saya mengambil pendekatan berbeza. Saya memilih untuk membuka sebuah premis yang menyediakan khidmat permainan video di kawasan tempat tinggal sahaja.
“Jadi, bisnes ini boleh dikira lain daripada lain sedikit. Lagipun, saya fikir, daripada budak-budak kampung terlibat merempit di jalanan, lebih baik mereka bermain permainan video,” katanya yang memberitahu kedai permainan video itu diberi nama sebagai YTJT di Taman Seri Mas, Hulu Langat, Selangor
Dalam pada itu, selepas raya nanti, kata Haqiem, dia mungkin akan sibuk dalam membuat persiapan menerusi penganjuran konsert solonya yang dijadual pada penghujung tahun nanti.
Tajul lagu raya
Sementara itu, bagi Tajul pula, dia menyambut lebaran bersama keluarga di Labu, Negeri Sembilan. Jelas pelantun lagu Sedalam-dalam Rindu itu, kehadiran Syawal sememangnya menggamit kenangan dirinya sewaktu kecil. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan dirinya menyambut lebaran bersama arwah abangnya yang juga penyanyi Achik Spin, perkara itu antara yang cukup dirinduinya
Sungguhpun begitu, itu semua hanya tinggal kenangan. Biarpun begitu, kata Tajul, kini hanya doa yang mampu dikirimkan buat insan-insan tersayang yang sudah pergi meninggalkan dirinya.
Jelas penyanyi berusia 20 tahun itu, kedatangan raya kali ini membawa makna yang berbeza apabila dia tampil mengabadikan memori-memori dalam hidupnya dalam sebuah karya lagu Aidilfitri.
Katanya, lagu berjudul Esok Hari Raya itu dihasilkan oleh Pak Ngah itu cukup mendalam maksudnya.
“Biarpun kita sudah tidak ada bersama dengan orang tersayang pada hari raya, tetapi kiriman doa itu penting sebagai tanda ingatan kita kepada mereka,” katanya yang turut digandingkan bersama Haqiem dan Wany menerusi telefilem berjudul Tergantung Rindu.