Elfira Loy teringat kenangan lalu


Pelakon dan pengacara, Elfira Loy memberitahu dia akan meneruskan 'tradisi' untuk bercuti seisi keluarga seperti kebiasaan pada musim perayaan Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun ujar selebriti berusia 24 tahun ini, mereka sekeluarga tetap pulang ke Kedah terlebih dahulu bagi menyambut Lebaran bersama nenda tercinta.

"Bila cakap pasal hari raya, saya pasti teringat kenangan membuat persiapan raya ketika arwah tok wan (datuk) masih ada.

"Dulu kami sama-sama akan tangkap ayam, kemudian sembelih, cabut bulu ayam untuk masak rendang. Memang dari pagi sampai ke malam sibuk buat persiapan raya.

"Tapi kini kami beli ayam siap untuk buat rendang, apa yang penting, balik untuk menziarahi nenek dan menggembirakannya.

"Selepas itu barulah kami akan pergi bercuti seisi keluarga. Biasanya selepas mama selesaikan puasa enam baru kami pergi bercuti.

"Buat masa ini saya tak pasti lagi nak cuti ke mana, antara dalam Malaysia atau luar negara," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya mengenai persiapan baju raya, Elfira berkata, dia ada mempunyai 65 pasang baju raya yang juga merupakan koleksinya pakaian di bawah jenama El By Elfira.





"Saya ada kira-kira 13 pasang koleksi berbeza yang dikeluarkan di bawah jenama El By Elfira. Setiap koleksi ada lima warna dan itulah yang saya akan pakai sepanjang Syawal nanti," katanya sambil tersenyum manis.

Dalam perkembangan lain, Elfira berkata, dia masih lagi sibuk dengan proses pembukaan cafe dan studio baharunya yang akan dibuka tidak lama lagi.

Ujar Elfira, cafe itu menampilkan makanan Western dan dia memastikan setiap menu yang dikemukakan boleh dimasak sendiri olehnya.

"Setakat ini ada tukang masak, tapi kalau tak cukup staff, saya tak kisah untuk turun memasak sendiri untuk pelanggan.

"Cuma mungkin pelanggan sahaja yang tidak tahu," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post