
Zamani tidak dapat meneruskan persembahannya di Gegar Vaganza 5 malam tadi.
Penyanyi dan peserta program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Zamani masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau menolak imuniti yang diberikan kepadanya.
Menurut pengurusnya, Aalan Ahmad, buat masa sekarang, keadaan kesihatan Zamani menjadi keutamaan dan sebarang keputusan tentang perjalanannya dalam GV5 akan dibuat dalam tempoh sehari dua lagi.
“Zamani tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan jadi pihak pengurusan masih berbincang tentang langkah terbaik yang perlu diambil.
“Memang ada kemungkinan Zamani akan menarik diri daripada GV5 jika keadaan kesihatan dan peti suaranya tidak mampu untuk meneruskan pertandingan,”katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Dalam pada itu, Aalan turut mengulas tentang kenyataan bekas pengurus Zamani, Johan Aziz yang mahukan pelantun Gerimis Mengundang itu menarik diri daripada GV5 sebagai menangguk di air yang keruh.
“Johan tiada hak membuat keputusan kerana dia hanya bekas pengurus kepada Zamani.
“Dia sekadar mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku minggu lepas kerana sejak awal lagi tidak bersetuju Zamani menyertai GV5,” ujarnya lagi.
Vokalis kumpulan Slam itu yang tidak dapat meneruskan nyanyian lagu dendangan Flybaits bertajuk Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta sewaktu persembahan di minggu ke lima GV5 pada malam Ahad lalu sepatutnya tersingkir selepas mendapat markah kosong daripada pihak juri.
Namun dia diselamatkan dan layak ke minggu keenama selepas menerima imuniti daripada penaja utama rancangan, Datuk Seri Aliff Syukri. - K! ONLINE