
Kemas kini kandungan media sosial menjadi salah satu perkara wajib, sementelah tumpuan khalayak sekarang tampak lebih menjurus ke arah itu seiring dengan arus pemodenan.
Kemungkinan sifat obsesi yang ada itu mendorong mereka untuk melontarkan kata-kata tidak ubah bagai melepaskan peluru sesat yang bergerak tanpa arah tuju.
Situasi tersebut menimpa pelakon baharu yang sedang meningkat naik, Raysha Rizrose. Hanya kerana sekeping foto yang dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya membuatkan dia menjadi sasaran netizen.
Disifatkan khalayak bahawa gambar tersebut kelihatan agak seksi kerana menampakkan bentuk payudara, foto tersebut lantas menyebabkan dia dihujani dengan pelbagai kritikan.
Ada segelintir mereka memberikan nasihat agar tidak mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan tetapi tidak kurang juga yang meninggalkan mesej nakal di ruangan komen sehingga membuatkan wanita berusia 22 tahun itu terpaksa bertindak untuk memadamkannya.
“Terus terang saya tidak mengambil peduli tentang apa yang diperkatakan mereka. Ini kerana dalam gambar tersebut saya masih mengenakan pakaian yang lengkap dan tidak terdedah.
“Mungkin disebabkan sudut kamera yang menampakkan ia sebegitu kerana yang pasti pakaian tersebut tidak terlalu ketat. Bahkan, saya sendiri bukan artis yang kejar publisiti mahupun sengaja mahu mencetuskan kontroversi,” terang pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd. Fariz itu.
Biarpun Raysha mengambil pendekatan untuk mendiamkan atau tidak memadamkan gambar tersebut tetapi dia tetap memantau setiap komen yang ditinggalkan atau disifatkan sebagai melampaui batas.
Jelas Raysha, sejak itu kata-kata khalayak yang ‘bertopengkan’ nasihat banyak diterima tetapi pada dasarnya, ia hanya untuk menjatuhkan atau memalukan dirinya lebih banyak berbanding mereka yang ikhlas menasihati.
“Bukan bermaksud saya keras kepala atau enggan mengambil peduli tanggapan orang lain tetapi saya mengambil perkara yang positif manakala negatif akan dibuang sejauh mungkin. Tidak perlu membebankan diri memikirkan perkara sebegitu kerana ia tidak membawa kita ke mana,” luahnya terhadap tindakan khalayak yang meninggal komen negatif terhadap gambar tersebut.
Tidak hanya menguatkan hati sendiri untuk berdepan dengan situasi tersebut, Raysha turut mendapat sokongan keluarga, apatah lagi dua kakaknya, Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose turut terlibat dalam industri hiburan.
Keluarga
Memandangkan kedua-dua kakaknya terlebih dulu makan garam daripadanya, Raysha mengambil pendekatan untuk tidak mengambil pusing tentang kata-kata khalayak, apatah lagi membidas kenyataan mereka.
Lebih mudah mengambil jalan mendiamkan diri daripada membalas serangan, Raysha berpendapat tindakannya itu pasti akan menghentikan perbuatan khalayak, sekali gus meredakan situasi tersebut.
“Mereka (Uqasha dan Nelydia) ada mengatakan agar saya membiarkan sahaja perkara itu kerana bimbang ia akan berpanjangan. Apabila mereka berkata demikian dan saya membalas kenyataan tersebut, ia akan berlarutan, sekali gus mengundang pelbagai persepsi.
“Jadi, lebih baik mendiamkan diri dan membiarkan perkara tersebut berlalu begitu sahaja tanpa terlalu memikirkannya. Kerana pada saya, biar apa pun yang dilakukan, individu yang mengkritik tetap ada,” jelasnya.
Anugerah
Sementara itu, Raysha yang ditemui pada majlis Sidang Akhbar Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) turut berkongsi tentang perasaannya apabila pertama kali menyertai acara tersebut menerusi naskhah Pendosa Ingin Ke Syurga.
Peluang tersebut dianggap sebagai satu batu loncatan dalam kerjaya lakonan selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2015.
“Harapan untuk menang ada. Pada saya ini adalah satu pencapaian yang cukup baik dan membanggakan.
“Umum mengetahui anugerah ini dinilai secara profesional. Terpulang kepada takdir kerana rezeki masing-masing.Tidak ada siapa tahu kerana senarai pencalonan juga hanya diketahui dalam acara tersebut. Jadi sama-sama kita lihat,” katanya seraya tersenyum saat mengulas anugerah ASK2018 yang berlangsung pada 2 November depan.
Dalam pada itu, berkongsi lapangan seni yang sama membuatkan Raysha secara tidak langsung bersaing dengan dua kakak kandungnya meskipun dia keras menafikan perkara tersebut.
Ujar Raysha, dia tidak pernah meletakkan Uqasha mahupun Nelydia sebagai pesaing, apatah lagi untuk menjadi lebih baik daripada mereka.
“Kami saling menyokong antara satu sama lain dan tidak pernah terlintas dalam hati saya untuk mendabik dada mahupun menjadikan mereka sebagai pesaing. Ya, secara sihat mungkin. Ia membuat saya berusaha meningkatkan kualiti lakonan tetapi menyimpan perasaan iri hati itu jelas tiada sama sekali.
“Untuk apa saya meletakkan mereka sebagai pesaing sedangkan kedua-duanya kakak. Terus terang saya tidak pernah berasa perasan bagus mahupun berlebih-lebihan berbanding mereka,” ujar Raysha serius.
Meneruskan cerita dalam soal kerjaya, dia mengakui terdetik untuk mencuba cabang seni lain seperti nyanyian dan pengacaraan.Bagaimanapun, dia memilih untuk kekal serius sebagai pelakon sebelum berani mencuba cabang seni lain.
Tidak menafikan keinginannya, Raysha bagaimanapun optimis terhadap satu perkara bagi memastikan dia memelihara kualiti kerja yang dihasilkan.
“Buat masa sekarang saya memilih untuk fokus terhadap bidang lakonan sebelum bersedia untuk melakukan perkara lain. Memang ada terlintas tetapi biar perlahan asal selamat,” seloroh anak kelahiran Selangor itu.
Selain ingin mencuba nasib dalam bidang nyanyian dan pengacaraan, Raysha turut menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran. Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada keadaan dan tahap kemampuan dia membahagikan waktu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa.
Ini memandangkan Raysha ingin memberi tumpuan penuh dalam setiap apa dilakukan agar hasilnya tidak menghampakan, apatah lagi mengecewakan harapan individu yang bergantung kepadanya.
Raysha Rizrose enggan pening kepala terhadap kritikan negatif yang diberikan hanya kerana sekeping foto yang dimuat naik dalam Instgram. Sebaliknya, adik tiri kepada pelakon Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu tetap optimis mengorak langkah dalam bidang seni.