
Pelakon jelita, Siti Elizad atau nama lengkapnya, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin mengharapkan peluang untuk segera menimang cahaya mata lebih cerah selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di dalam rahim atau cyst berukuran sembilan sentimeter sekitar awal September lalu.
Bahkan, dalam setiap doa pelakon yang mesra disapa sebagai Elizad, 35, itu sentiasa mengharapkan agar diberi peluang untuk melahirkan zuriat kandung sebelum mencecah usia 40 tahun.
Sokongan suami, Shamsul Baharin Rahman, 46, dan keluarga sentiasa menjadi pendorong buat pelakon filem Berlari Ke Langit itu untuk kekal optimis dan tidak patah semangat, apatah lagi apabila hatinya meruntun tatkala dilontarkan dengan pertanyaan melibatkan soal anak.
Bertemu pada majlis Sidang Akhbar Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) yang akan berlangsung pada 2 November depan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Elizad mengharapkan agar khalayak peka terhadap sensitiviti melibatkan persoalan peribadi sebegitu.
Bolehkah Siti Elizad kongsikan tentang kesihatan anda selepas membuat pembedahan cyst bulan lalu?
SITI ELIZAD: Alhamdulillah keadaan saya baik selepas membuat pembedahan tersebut tetapi masih belum pulih sepenuhnya. Hal ini kerana kesan jahitan masa belum baik. Biarpun masih belum baik sepenuhnya, saya bagaimanapun telah aktif semula berlakon dan kini menjalani penggambaran sebuah drama rantaian. Tambahan, ini merupakan pembedahan buat kali kedua. Sebelum ini, sekitar tahun 2014 saya telah menjalani pembedahan sama dengan membuang ketumbuhan dalam rahim seberat empat kilogram (kg).
Meskipun tahap kesihatan masih belum baik sepenuhnya, mengapa anda memilih untuk kembali aktif. Tidakkah ia akan mengundang bahaya ke atas diri anda kelak?
Selepas pembedahan saya telah berehat selama sebulan. Pada saya ia satu tempoh yang panjang meskipun disarankan agar berehat lebih lama iaitu tiga bulan. Secara peribadi, saya seorang yang aktif dan tidak gemar duduk diam. Tidak dinafikan, dalam tempoh berehat itu saya ada mengalami pendarahan. Syukur tiada sebarang kemudaratan mahupun bahaya. Selepas mendapatkan rawatan saya kembali pulih dan baik. Namun, suami tetap menasihati agar saya lebih berhati-hati dan tidak terlalu lasak.
Memandangkan ini merupakan pembedahan cyst kedua, adakah anda mengamalkan sebarang perubatan untuk mencegah daripada berlaku lagi?
Saya akan membuat pemeriksaan kesihatan pada setiap tahun. Hal ini bukan sahaja bagi memastikan gejala cyst itu tidak berulang tetapi disebabkan ada sejarah keluarga yang meninggal dunia disebabkan barah membuatkan saya prihatin soal kesihatan. Saya juga akan sentiasa menjaga pemakanan dan berusaha untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Dalam pada itu, saya mengharapkan agar pembedahan pembuangan cyst ini akan dapat memberi peluang lebih untuk hamil.
Adakah anda berasa tertekan apabila banyak pihak kerap bertanyakan tentang bila ingin menimang cahaya mata?
Terus terang saya seorang yang positif dan enggan memandang serius terhadap perkara yang kemungkinan mengundang semangat negatif. Namun, saya juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Apabila kerap diajukan soalan sama, hati siapa yang tidak terusik. Sebagai wanita, biarpun dia hartawan atau jelitawan tetapi mereka tetap juga ingin memiliki sekurang-kurangnya seorang cahaya mata sendiri. Kesempurnaan wanita itu dirasakan lengkap apabila bergelar ibu.
Justeru, adakah anda akan memperlahankan lakonan demi memberi ruang dan fokus kepada keluarga dan diri sendiri?
Buat masa sekarang saya lebih terbuka untuk menerima naskhah yang lebih santai, romantis dan komedi. Tidak terlalu berat kerana ingin memupuk semangat positif dalam diri. Ini kerana ada kenalan yang mengatakan jangan terlalu banyak membawakan watak wanita sedih atau malang kerana bimbang akan terkena badi (membawa malang).
Pada awalnya saya tidak percaya tetapi apabila telah sampai kepada fasa ini, saya mula mempertimbangkannya. Namun, tawaran watak komedi hanya dilakukan sekali setahun kerana bimbang khalayak akan melabelkan saya sebagai pelawak.
Beralih kepada ASK2018, bolehkah anda kongsikan sedikit?
Saya dimaklumkan drama Tulus Cinta tercalon bagi kategori telefilem. Sejujurnya saya sendiri tidak mengetahui sama ada tercalon dalam senarai pencolonan atau tidak tetapi saya memberi sepenuh sokongan terhadap karya tersebut. Tambahan, setiap kali saya menerima sebarang tawaran, tidak pernah terlintas di fikiran untuk memenangi sebarang anugerah atau tidak. Saya sentiasa memberi fokus dan tumpuan terhadap kerjaya dan melakukan kajian mengenai skrip dan watak bagi memastikan dapat menterjemahkan dengan baik.