Perantauan, kematangan Janna Nick


Saban tahun, rutin menyambut lebarannya sering diraikan di kampung halaman bersama keluarga tersayang. Dekahan ketawa sanak saudara tatkala bertemu menjadi pengubat rindu setelah sekian lama tidak bertentang mata.

Meneruskan amalan kunjung-mengunjungi, tradisi yang sememangnya menjadi amalan wajib merayakan Aidilfitri merupakan aktiviti paling menyenangkan Janna saat pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah.

Kemeriahan tersebut bagaimanapun jauh berbeza kali ini memandangkan pemilik nama lengkap, Nurul Jannah Muner itu menyambut Ramadan, sekali gus Syawal di bumi Rusia.

Jeritan dan laungan gol menjadi pengganti bunyi dentuman mercun yang sememangnya sinonim pada setiap kali sambutan hari raya terutama bagi mereka beraya di desa.

Tidak dinafikan, pelakon dikenali dengan nama Janna Nick itu rawan tatkala meraikan Syawal pertama jauh daripada keluarga terutama ibunya, yang mesra dengan panggilan Shasha.

Pertama kali menyambut Aidilfitri di rantau orang, Janna tidak pernah terfikir untuk meraikan Syawal di Stadium Luzhniki, Moscow, Rusia meskipun dia seorang penggemar sukan bola sepak.

Sememangnya seorang wanita yang merupakan peminat tegar sukan tersebut, Janna tidak canggung menjejakkan kaki ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.

Pertama kali menjejakkan kaki di negara asing tersebut, Janna bagaimanapun reda, apatah lagi tujuannya adalah demi komitmen karier.

Dia harus melunaskan tanggungjawab sebagai duta produk telefon pintar yang menjadi penaja utama acara pembukaan Piala Dunia Rusia 2018. Disebabkan itu, Janna berkelana di rantau orang dengan menghabiskan masa sekitar lapan hari di Rusia.

“Sepanjang hayat, ini adalah Syawal pertama yang diraikan tanpa keluarga, apatah lagi berjauhan sehingga ke luar negara. Tiada perkara lain bermain di fikiran kerana yang ada hanyalah wajah emak dan kemeriahan sanak saudara menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung.

“Biarpun sedih tetapi Syawal boleh diraikan selama sebulan. Sejurus pulang dari Rusia, saya meluangkan waktu bersama keluarga dan pulang beraya di Kedah,” ujarnya yang sempat beraya bersama keluarga pada hari raya kelima.

Mengulas mengenai rasa rindu tanpa kehadiran insan tersayang, Janna akui tidak bersendirian menyambut lebaran kerana adiknya, Nurul Balqis atau Kissya Nick turut sama menemani di Rusia.

“Dia (Kissya) membuatkan saya berasa masih dekat dengan keluarga biarpun ditemani oleh beberapa individu lain yang terdiri daripada pembantu peribadi dan jurusolek.

“Mungkin emak yang berasa sedih beraya pada tahun ini kerana dua daripada tiga anaknya tiada bersama,” kata Janna berseloroh sambil melepaskan ketawa kecil.

Dalam pada beberapa kali membetulkan duduknya di atas kerusi, wanita bermata bundar yang tidak lekang dengan senyuman itu turut berkongsi tentang hadiah istimewa sempena menyambut ulang tahun kelahiran pada 1 Jun lalu.





Lebih matang

Menginjak usia 23 tahun, Janna yakin angka tersebut membuatkan dirinya semakin matang dan bijak dalam membuat perhitungan hidup terutama perihal kerjaya.

Tempoh yang hampir sedekad bergelar anak seni membuatkan Janna semakin serius mengambil berat tentang kerjaya terutama lakonan.

Bidang yang telah melonjakkan namanya dalam kalangan peminat itu lebih diberi keutamaan berbanding nyanyian dan pengacaraan.

Bukan bermaksud besar kepala, apatah lagi berasa sudah cukup senior bersaing dengan pelakon lain, namun Janna berpendapat dia sudah harus melakukan anjakan.

Bersikap selektif dalam pemilihan naskhah, Janna enggan membiarkan dirinya hanyut melakonkan karakter dan jalan cerita sama terutama karya melodrama.

“Bukan lagi berstatus artis baharu tetapi tidak juga lama. Pada saya, tangga usia yang hampir 10 tahun dalam industri merupakan penentu sama ada saya mahu kekal lebih lama atau sebaliknya.

“Ia membuatkan saya berusaha lebih gigih agar dapat memberikan yang terbaik kepada peminat setelah mereka memberikan sokongan padu sejak mula menceburi bidang seni sekitar tahun 2012,” tuturnya.

Bercerita mengenai hadiah istimewa yang diterima, Janna tidak mengambil masa lama untuk memikirkannya.

Dengan pantas, dia menjawab, sokongan peminat merupakan hadiah paling istimewa.

Tanpa peminat, mustahil untuk wanita berbintang Gemini itu mencapai kejayaan seperti yang diraih pada hari ini.

“Mereka adalah hadiah paling istimewa dalam hidup saya dan tidak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit atau dan barangan mewah lain,” kata pelantun lagu Akan Bercinta seraya mengakui peminat membawa keberuntungan dalam hidupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post