Gayatri (kiri) menafikan khabar angin bahawa dia dan Zul Ariffin bercuti bersama di Bali baru-baru ini.
Penerbit filem, Gayatri Su-lin Pillai menafikan khabar angin yang mengatakan dia bercuti bersama pelakon Zul Ariffin ke Bali, Indonesia baru-baru ini.
Gayatri, 44, berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan hubungan mereka hanyalah sekadar kawan baik sahaja.
“Gosip yang mengatakan saya bercuti ke Bali dengan Zul tidak benar.
“Bagaimanapun, saya ada berjumpa dengan Zul sempena hari raya tempoh hari dan beraya bersama keluarganya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah di WowKL, di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Gaya dan pelakon J Revolusi itu pernah dikaitkan bercinta. Bagaimanapun, baik Gaya mahupun Zul, masing-masing tidak pernah mengaku mengenai hubungan mereka.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia terbuka jika berjodohan, Gaya berkata, dia meletakkan perkara tersebut kepada Tuhan.
“Orang akan terus bertanya dan bercakap tentang perkara ini. Kalau boleh saya tidak mahu memberi sebarang komen.
“Jadi, saya serahkan segalanya di tangan Tuhan,” ujar Gaya lagi.