Penyanyi rap popular, Waris seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terlibat dalam dunia lakonan. Penyanyi lagu Rembau Most Wanted itu juga mengakui lakonan bukanlah jiwanya selain mahu fokus kepada karier muzik.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 29 tahun itu tidak dapat memberi sebarang kata putus sama ada benar-benar nekad tidak mahu langsung terlibat dalam dunia lakonan kerana enggan terlalu berbicara tentang aturan masa depan yang memungkinkan kemustahilan menjadi realiti.
Waris atau nama sebenarnya, Muzzammil Alias tetap berharap agar keputusan tersebut dapat diterima peminat memandangkan misinya kini adalah untuk memperjuang dan memartabatkan muzik hip-hop tanah air.
Ikuti penjelasan daripada penyanyi kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaharu lakonannya berjudul This Is Pilah baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh kongsikan sedikit tentang penglibatan Waris dalam filem This Is Pilah?
WARIS: Dalam filem ini saya memegang watak sendiri dan muncul dalam satu babak sahaja sebagai pelakon undangan. Biarpun hanya satu babak tetapi dialog yang saya tuturkan merungkai permasalahan Adat Perpatih yang menjadi jalan cerita filem.
Biarpun filem ini menggunakan 100 peratus dialek Negeri Sembilan tetapi saya yakin ia dapat diterima masyarakat berbilang negara ini kerana elemen humor yang diterapkan berkaitan rapat dengan kehidupan seharian.
Difahamkan, filem ini dihasilkan berdasarkan lagu anda yang berjudul This Is Pilah. Boleh anda perincikan perkara tersebut?
Memang betul filem ini dihasilkan berdasarkan lagu baharu saya yang berjudul This Is Pilah. Namun, cadangan untuk menjadikannya sebuah filem bukanlah datang daripada saya.
Saya cuma cadangkan untuk lagu ini dihasilkan dalam apa sahaja bentuk rakaman selepas berpeluang bertemu bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek tidak lama dahulu di Phnom Penh, Kemboja ketika terlibat dengan penggambaran sebuah program televisyen.
Biarpun berada di negara orang tetapi berkesempatan bertemu orang kampung membuktikan sejauh mana kita pergi, asal usul jangan dilupa.
Anda pernah menyuarakan hasrat tidak mahu lagi berlakon selepas ini. Apa yang boleh anda jelaskan tentang perkara tersebut?
Kalau boleh, saya mahu filem ini naskhah terakhir saya terlibat. Puncanya bukan sebab saya tidak mahu tetapi minat saya memang bidang muzik dan mahu fokus 100 peratus kepada muzik.
Matlamat saya sekarang adalah untuk terus memajukan muzik hip-hop. Tidak lama lagi saya dan Juzzthin bakal muncul dengan sebuah projek baharu. Dia jadi pelakon, saya pengarah. Senang cerita, selepas ini kerja saya lebih ke arah belakang tabir sahaja.
Adakah anda nekad dengan keputusan tersebut?
Bab nekad atau tidak, saya tiada jawapan dan tidak berani mahu jawab. Kalau boleh saya memang mahu elakkan berlakon. Sebab ibu dan ayah saya ajar, buat perkara yang kita suka.
Jadi, inilah yang saya pilih dan suka iaitu muzik. Penglibatan saya dalam filem This Is Pilah pun sekadar untuk menyokong rakan baik, Juzzthin yang akhirnya berjaya memegang watak utama dalam sebuah naskhah besar.
Bagaimana jika peminat masih mahu melihat anda berlakon?
Sebelum ini pernah terjadi, saya menolak secara baik permintaan peminat yang ingin bergambar selepas menonton perlawanan bola sepak Negeri Sembilan kerana pasukan tersebut kalah. Jadi mood hilang dan mereka pun faham saya menolaknya dengan baik. Banyak kali juga saya cakap ‘tidak’ kepada peminat, jadi harap peminat juga memahaminya.
Cuma satu perkara yang saya harapkan, doa-doakanlah yang baik-baik untuk saya. Sebab kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa depan.