Aidilfitri pertama Ummi Nazeera, Izzar


Lebaran yang manis turut dikongsi pelakon cantik, Ummi Nazeera, 28. Seperti mana-mana pasangan suami isteri, Syawal menjadi momen terindah diraikan bersama pasangan.

Bukan itu sahaja, Aidilfitri kali ini tambah berlainan berbanding tahun sebelumnya selepas Ummi disahkan hamil cahaya mata sulung hasil perkahwinannya bersama suami, Mohd. Izzar Anwari Abd. Khani (Izzar), 30.

Ummi atau nama lengkapnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin memberitahu, mereka menyambut Syawal kali pertama sebagai suami isteri di kampung halaman Izzar di Baling, Kedah.

“Sebelum ini, kami sudah pulang ke kampung halaman sebelah saya dan kali ini, kami sepakat menyambut lebaran di Kedah. Bagaimanapun, kami juga pulang ke kampung halaman saya di Terengganu.

“Apa yang mencabarnya Syawal pada kali ini ialah menempuh perjalanan jauh dalam keadaan hamil. Sejujurnya saya tidak kisah beraya di mana asalkan saya selesa, apatah lagi dalam keadaan berbadan dua,” jelasnya sambil memberitahu, usia kandungannya baru memasuki enam bulan.

Bagi Izzar pula, sudah tentu terdapat perbezaan beraya dahulu dan sekarang. Ini kerana dia perlu sentiasa sensitif dengan keadaan isterinya yang berbadan dua.

“Jika dahulu, pulang ke kampung berseorangan tetapi kini saya membawa isteri, apatah lagi sejak hamil, dia menjadi lebih sensitif. Jadi, saya perlu menjaga perasaannya selain memahami keadaannya,” jelas Izzar sambil memberitahu, Ummi tidak membuat permintaan atau mengidam sesuatu yang pelik setakat ini.

Malah, pasangan suami isteri yang bernikah pada 23 Julai 2017 itu juga tidak berdepan masalah giliran balik kampung apabila tibanya musim Syawal memandangkan mereka mengamalkan konsep adil serta bertolak ansur dalam soal tersebut.





Aktif

Bercerita mengenai perubahan dirinya sejak disahkan hamil, pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap itu berkata, dia cepat berasa panas badan, selain tidak boleh duduk diam.

Si cantik berwajah eksotik itu turut mengakui dia sememangnya seorang yang aktif, malah berita kehamilannya juga diketahui ketika sedang menjalani penggambaran filem Gol & Gincu 2.

“Selepas berbadan dua, saya tidak boleh duduk diam kerana akan mudah migrain sekiranya tidak aktif. Sejujurnya saya masih belum mengetahui jantina bayi yang dikandung walaupun sudah dua kali menjalani ujian ultra bunyi.

“Namun, saya naluri mengatakan anak yang bakal lahir nanti adalah perempuan tetapi suami mempunyai pendapat berbeza. Saya berpendapat hamil bayi perempuan kerana sejak kebelakangan ini, semakin menggemari warna merah jambu dan gembira sekiranya memakai pakaian berwarna sedemikian,” ujarnya yang tidak kisah jantina bayi yang dikandung asalkan sihat dan sempurna sifat.

Ketika ditanya ada sesetengah individu yang memilih untuk tidak mengetahui jantina bayi yang dikandung, pelakon drama Nur Kasih itu berpendapat, dia lebih gemar mengetahui jantina bayinya bagi memudahkan persi
apan.

Pilih tawaran

“Buat masa ini, saya tidak melakukan sebarang persiapan kerana memilih untuk melakukannya ketika usia kandungan mencecah lapan bulan ke atas.

“Ada juga kami lihat-lihat dahulu tetapi tidak terus membeli. Malah, ada juga syarikat barangan keperluan bayi yang sudah menghubungi saya untuk memberikan hadiah tetapi apa yang penting, saya mahu mengutamakan keselamatan bayi yang bakal dilahirkan kelak,” katanya yang dijangka bersalin pada awal Oktober depan.

Diajukan persoalan, adakah dia dan suami bakal menyembunyikan wajah anak saat dilahirkan kelak seperti yang diamalkan oleh beberapa selebriti lain, aktres Bisik Pada Langit itu segera menggelengkan kepala. Dia tidak akan melakukan tindakan sebegitu.

“Saya tidak mempunyai peraturan seperti itu. Cuma, saya akan menolak jika saya fikir ada benda yang tidak bagus buatnya,” jelas Ummi yang memilih Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Seri Kembangan sebagai lokasi untuk bersalin kelak.

Berkongsi mengenai perjalanan karier seninya, pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu memberitahu sudah tidak aktif berlakon sejak April lalu demi memberi tumpuan kepada kandungan dan keluarga.

Malah, dia sememangnya mengehadkan persetujuan terhadap mana-mana tawaran demi menjaga kualiti kerja.

“Sebenarnya saya tidak aktif sangat berlakon, apatah lagi apabila disahkan hamil. Saya mengamalkan konsep memilih dan pada tahun ini, saya bakal tampil dalam filem Gol & Gincu 2 yang akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.

“Jika diikutkan, saya juga mengehadkan pengambilan tawaran lakonan iaitu kira-kira dua projek dalam setahun. Pada tahun lalu juga saya memilih untuk memperlahankan aktiviti seni atas saranan ibu kerana mahu mendirikan rumah tangga ketika itu,” jelasnya yang bakal aktif berlakon semula kira-kira enam bulan selepas bersalin.

Izzar pula tidak kisah sekiranya Ummi mahu kembali aktif selepas melahirkan anak kelak asalkan isterinya itu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

Post a Comment

Previous Post Next Post