Gabungan nama pasangan selebriti, Scha Alyahya dan Awal Ashaari iaitu Schawal menjadikan mereka antara artis yang sentiasa diingati khalayak saat menjelang Ramadan dan Syawal.
Genap enam tahun usia perkahwinan mereka pada 4 Mei lalu, kedua-duanya yang ditemui pada majlis Borak Santai: Jakel Barulah Raya 2018 di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini nyata teruja saat berkongsi tentang persiapan raya.
Tidak dinafikan, kedua-duanya saling sibuk dengan urusan kerjaya seni masing-masing, namun sebagai ketua keluarga, Awal atau nama lengkapnya, Ahmad Awaluddin Ashaari sepakat bersama isteri untuk meluangkan waktu berbuka puasa bersama keluarga.
“Sepanjang seminggu Ramadan, saya berbuka bersama keluarga iaitu pada hari pertama dan kedua. Kemudian, kami berdua akan saling bergilir-gilir berbuka puasa di kediaman orang tua dan mertua.
“Kami buat agenda ini kerana mula sibuk dengan urusan masing-masing apabila memasuki minggu kedua Ramadan,” jelas Awal.
Mengulas mengenai aktiviti Ramadan, Awal memberitahu, dirinya banyak terikat dengan tanggungjawab sebagai jurucakap bagi beberapa rangkaian produk.
Disebabkan itu, pelakon filem Niyang Rapik berkenaan tidak mempunyai waktu untuk membuat sebarang persiapan sambutan Aidilfitri lebih awal.
Diberi peluang untuk menjadi antara wajah selebriti Jakel buat kali ketiga membuatkan Awal sekeluarga tidak perlu memikirkan soal pakaian raya yang pastinya menjadi perkara wajib pada setiap kali menyambut lebaran.
Hal itu turut dikongsikan dengan isteri, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya atau lebih dikenali sebagai Scha Alyahya yang juga diberi peluang sama sepertinya.
Persiapan lebaran
“Alhamdulillah, sekiranya bercerita mengenai persiapan pakaian, tiada apa yang perlu dirunsingkan kerana segalanya telah tersedia termasuk untuk Lara,” ujar Awal.
Nyata rezeki tidak hanya berpihak kepada Awal dan isteri tetapi cahaya mata sulung mereka, Lara Alana, 4, turut menggalas tanggungjawab sama bagi rekaan fesyen kanak-kanak.
Selesai dengan urusan pakaian, Awal memberitahu, persiapan lain sering kali dilakukan pada saat akhir iaitu sekitar beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Dalam tempoh tersebut, Awal sekeluarga akan memastikan segala keperluan raya tersedia. Awal sekeluarga turut banyak menerima hadiah daripada peminat dan kenalan artis terutama melibatkan keperluan Lara dan biskut raya.
Selain bercerita soal Ramadan, Awal turut diajukan pertanyaan tentang keinginannya untuk muncul semula di kaca televisyen dan layar perak sebagai pelakon.
Sinonim dengan kerjaya dalam bidang pengacaraan, Awal nyata tidak mahu ‘bercerai’ apatah lagi menduakan kecintaannya terhadap tugas sebagai seorang hos itu.
Enggan berlakon
Dalam nada seloroh, Awal memberitahu, dia enggan dilihat kecil di mata khalayak dan sentiasa kurang sempurna setiap kali muncul sebagai pelakon.
Rasa rendah diri itu secara tidak langsung membataskan Awal mengikut jejak langkah Scha yang lebih dikenali kerjayanya dalam bidang lakonan.
“Saya tidak mahu memalukan diri sendiri kerana tidak pandai berlakon. Lebih baik tidak melakukannya daripada menjadi bahan kecaman,” seloroh Awal sambil melepaskan ketawa kecil.
Meskipun bibirnya pantas mengungkapkan jawapan tidak, sebagai isteri, Scha sentiasa memberi sokongan terhadap apa jua bidang yang digemari oleh belahan hatinya itu.
“Awal sentiasa berfikiran sebegitu kerana takut tidak mampu bersaing dengan pelakon lain. Biar apa pun, segala terserah mengikut kemahuannya,” tutur Scha tersenyum.
Mengalih bicara kepada Scha, wanita berusia 35 tahun itu memberitahu, jadual hariannya lebih banyak terisi dengan aktiviti di lokasi penggambaran.
Sama seperti Awal, Scha tidak mempunyai waktu untuk membuat sebarang persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Terlibat dengan penggambaran naskhah berjudul Bikin Filem, karya arahan Yeop Hitler itu merupakan kemunculan kedua Scha di layar perak.
Hal itu lantas menjadikan Scha berasa gementar untuk beraksi di atas kanvas berskala besar berbanding dunia kaca televisyen.
“Pada minggu ini saya mula sibuk dengan penggambaran filem selain ia merupakan karya kedua selepas Awan Dania The Movie pada tahun 2013.
“Setelah sekian lama tidak muncul di layar perak, tidak dinafikan saya berasa agak takut dan lebih teliti terutama saat menterjemahkan watak,” ujar Scha.
Melanjutkan cerita, Scha memberitahu, penggambaran filem tersebut akan berlarutan sehingga menjelang Syawal sebelum disambung semula selepas sambutan perayaan Aidilfitri.
Teruja bercerita tentang buah tangan baharunya itu, nada suara Scha sedikit berubah tatkala memberitahu tentang tahap kesihatan ibunya, Junaidah Hashim.
Keprihatinan Scha
Kongsi Scha, keadaan ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang sejak setahun lalu telah memperuntukkan ibunya untuk menjalani rawatan dialisis secara berkala.
Situasi berkenaan lantas mencuit emosi ibu beranak satu itu apabila mengenangkan ibunya yang perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu.
“Biarpun sibuk saya tetap memikirkan soal keluarga dan mengutamakan mereka terutama kedua orang tua. Mungkin lebaran kali ini sedikit berbeza kerana ibu perlu mendapatkan rawatan dialisis.
“Saya akan cuba meluangkan waktu tetapi mengikut kepada rutin ibu. Sekiranya tidak terlibat dengan rawatan saya akan mengunjungi mereka untuk berbuka puasa atau beraya.
“Bagaimanapun, semua itu bergantung pada keadaan ibu memandangkan rawatan dialisis menyebabkan pesakit mudah berasa penat. Jadi, saya perlu tahu tahap kesihatan ibu terlebih dahulu kerana enggan kesihatannya terganggu,” kata pelakon drama rantaian Mimi Mencari Cinta itu.
Selain sibuk di lokasi penggambaran Bikin Filem, Scha juga bakal muncul dalam program istimewa lebaran iaitu MeleTOP Raya dan Ti Amor Sweetheart di saluran Astro serta Baju Kurung Eksklusif (TV3).
Kesibukan jadual kerja tidak membataskan pasangan pelakon popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya untuk saling berbuka puasa bersama cahaya mata mereka, Lara Alana, termasuk meluangkan waktu dengan kedua orang tua.