Fasha Sandha akan minta maaf pada Nora Danish


Pelakon popular, Fasha Sandha memohon maaf dengan Nora Danish selepas berperang dingin kerana salah faham yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 33, berkata dia mahu melakukan perkara tersebut (mohon maaf) demi kebaikan anak-anak dan keluarga.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang,sempena bulan Ramadan yang mulia ini saya akan memohon maaf kepada Nora di atas isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu kerana didakwa telah mengguris perasaannya.

“Saya juga mengakui bahawa minggu lalu saya dan dia telah ke pejabat Mediasi di Mahkamah Shah Alam namun saya tidak mahu komen lanjut soal itu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar tertutup pada malam Khamis.

Tambah pelakon Teratai Kemboja itu lagi, antara sebab dia mahu menamatkan isu ini dengan segera kerana ia telah berlarutan terlalu lama dan enggan lagi saling berseteru.





“Jalan terbaik adalah berdamai dan hidup dalam harmoni. Terima kasih saya ucapkan kepada peminat-peminat kami berdua kerana tidak jemu mendoakan agar kami saling berdamai.

“Alhamdulillah syukur dengan bantuan peguam kedua belah pihak, ia diperkenankan oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Tahun lalu, dua bekas isteri Rizal Ashram Ramli atau Jejai ini saling berbalas kenyataan di media sosial apabila Fasha mendakwa Nora menghalau dirinya daripada sebuah pertunjukan fesyen dengan mengugut penganjur untuk menarik diri jika Fasha turut hadir.

Post a Comment

Previous Post Next Post