Lan dan isteri disamping doktor yang melakukan pembedahan sumbing anaknya.
Penyanyi Lan Solo memberitahu anak keempatnya Nur Amna Quxandra yang menjalani pembedahan pada bahagian sumbing sudah dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu.
Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, turut meluahkan rasa syukur apabila ada pihak yang sudi membantu dari segi kewangan.
"Alhamdulillah, BabyXandra dah dibenarkan pulang. Terima kasih doktor dan team. Dalam tempoh masa pembedahan rasa hati ni Allah saja yang tahu.
Anak Lan dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu.
"Rezeki BabyXandra sangat murah. Segala bil dan ubatan telah diselesaikan melalui hasil sumbangan daripada mereka yang ingin bantu dari segi kewangan.
"Moga anda semua juga dimurahkan rezeki," tulis Lan menerusi laman Instagramnya.
Anak Lan yang mengalami masalah sumbing selamat menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Khamis.
Tambah Lan lagi, dia berharap semua peminatnya tidak berhenti mendoakan bayi perempuannya itu supaya sembuh dengan cepat.
"Terima kasih atas doa semua. Terus doakan BabyXandra cepat sembuh ya," katanya.
Wajah bayi perempuan Lan selepas pembedahan.
Rata-rata pengikutnya meluahkan rasa syukur pembedahan itu berjalan dengan lancar dan mereka juga tidak sabar melihat perubahan wajah bayi perempuan Lan.
"Alhamdulillah, I'm happy for you baby. Bayi yang kuat bergantung pada cara ibu bapa menjaga. Sebabkan abang (Lan) dan akak kuat, baby pun kuat.
"Tak sabarnya nak tengok perubahan muka anak abang Lan tapi makan masa pula nak sembuh luka bedah tu. Nanti beritahu perkembangan terkini ya.
"Ya Allah! Ringankan segala kesakitannya selepas pembedahan tu. Semoga Baby Xandra membesar dengan sihat dan comel," komen beberapa pengikutnya di laman sosial.
Isteri Lan, Nur Sheila Hassim melahirkan bayi keempat mereka pada 24 Februari lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, Kuala Lumpur.
Lan dan Sheila, 32, berkahwin pada 6 Disember 2009. Selain Quxandra mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.