Hanna Delisha Jangan mudah percayakan orang


Pelakon Hanna Delisha meluahkan rasa simpatinya terhadap Syafiq Kyle yang kini dihimpit kontroversi hebat berhubung penyebaran video lucah yang kini sedang menjadi bualan hangat.

Hannah yang pernah bergandingan dengan Syafiq menerusi drama Mencintamu Mr Photographer dan filem Langsuir mengharapkan apa yang berlaku pada aktor tersebut dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

“Saya simpati dengan apa yang berlaku ke atasnya dan berharap agar dia sentiasa positif dan kuat berdepan dengan semua ini.

“Saya tidak ada hak untuk mengeluarkan komen tentang perkara ini, apatah lagi tidak mengenalinya secara peribadi.

“Apa pun saya harap ia dapat diselesaikan dengan sebaiknya agar ia tidak sampai menganggu kehidupan dan kerjaya seninya selepas ini,” ujar Hanna yang kini sibuk menjalani penggambaran drama terbaharunya, My Fullhouse bersama Aiman Hakim Ridza.

Dalam pada itu, Hanna juga mengharapkan agar netizen tidak mudah menghukum dan mengecam Syafiq dalam situasi ini.






“Saya rasa sedih bila ada orang yang sanggup buat semua ini demi membuka aib orang lain, apatah lagi ia berlaku pada bulan Ramadan.

“Bagi saya ia adalah tindakan yang sangat tidak patut dan salah. Semua orang melakukan kesilapan dan janganlah terlalu menghukum.

“Daripada kita mengutuk dan menyebarkan kebencian, adalah lebih baik kita memberikan kata-kata positif,” tegasnya.

Dalam pada itu, apa yang berlaku ini turut dijadikan pengajaran buat Hanna untuk lebih berhati-hati mengatur langkah.

“Jangan mudah percayakan orang. Itu pengajaran yang saya lihat daripada apa yang berlaku ini,” kata Hanna kepada Sinar Harian.

Post a Comment

Previous Post Next Post