Izzue Islam mohon netizen henti sebar fitnah


Paparan Instagram Story Awin isteri Izzue Islam.

Bukan mudah sebenarnya menjadi anak seni bernama Izzue Islam. Mungkin dari segi luaran dia kelihatan ceria seperti tiada sebarang masalah namun tiada siapa tahu lelah yang disimpan dalam hati.

Menjadi ketua keluarga dan suami kepada Awin Nurin yang dikahwini sejak empat tahun lalu, sebenarnya pasangan itu tidak henti dibadai pelbagai tohmahan yang dilemparkan netizen terhadap hubungan rumah tangga mereka.

Lebih-lebih lagi apabila mereka masih belum dikurniakan rezeki anak sehingga wujud dakwaan kononnya isteri yang juga pengurus Izzue itu menggunakan khidmat bomoh.

Ikuti penjelasan Izzue berikutan perkongsian Instagram Story pada akaun isterinya yang disifatkan seperti tidak tertanggung sehingga Awin mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara itu kepada orang ramai.

KOSMO!: Boleh kongsikan aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?

IZZUE: Sepanjang bulan puasa ini saya banyak terlibat dalam aktiviti amal dengan menjadi duta kempen Terima Kasih bersama Media Prima. Tugas saya sebagai duta membantu promosi di media sosial, turun padang menyertai bazar dan menjalankan kerja amal di rumah anak-anak yatim terpilih. Pada masa sama saya terlibat dengan penggambaran drama di TV3 berjudul Jangan Benci Cintaku untuk slot Akasia yang akan ditayangkan selepas raya nanti. Saya juga sibuk berniaga untuk koleksi kurta, kanta lekap, gincu dan biskut raya.

Bagaimana pula dengan persiapan raya?

Pada tahun ini saya peruntukkan cuti selama seminggu untuk balik Kelantan. Saya ingin berehat dan dalam masa sama abang saya juga akan berkahwin. Rasanya ini cuti raya paling lama sebab mengikut tahun-tahun sebelum ini hari raya pertama saya kerja, atau paling tidak hari raya ketiga saya sudah balik ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Kebiasaan apabila pulang ke kampung, pasti ada yang bertanya tentang anak, bagaimana anda menghadapi hal itu?

Memang akan ada yang bertanya. Awalnya dahulu memang agak pelik apabila kerap ditanya soal anak, tetapi lama-kelamaan saya percaya Allah belum mahu memberi kami rezeki anak. Alhamdulillah, saya dimurahkan rezeki dalam soal kerja, cuma anak sahaja yang belum. Apabila orang bertanya, saya cuma meminta mereka mendoakan yang terbaik untuk kami.





Baru-baru ini terjadi kes netizen yang mendakwa isteri anda menggunakan bomoh sehingga tidak boleh hamil, mungkin boleh komen sedikit?

Ini bukan kali pertama berlaku. Ada sahaja orang yang akan mesej saya secara peribadi dan menuduh isteri saya bukan-bukan, malah isteri juga menerima hal yang sama. Mungkin mereka tidak suka kami berdua dan cuba hendak melaga-lagakan kami. Bagaimanapun, kami selalu bersama, sudah kenal dan faham karakter masing-masing. Pada saya, janganlah buat begini, tidak baik hendak meruntuhkan rumah tangga orang. Sebenarnya, mesej yang dikongsi isteri saya itu tidaklah seberapa kerana ada lagi mesej yang lebih teruk kami terima.

Boleh kongsikan mesej yang lebih teruk pernah anda dapat?

Saya pernah dituduh sebagai seorang kaki perempuan, berkahwin dengan isteri hanya kerana harta. Saya pelik bagaimana mereka boleh buat cerita sebegitu sedangkan kami bersama setiap masa. Mujur juga kami sudah memahami permainan industri, jadi kami tidak terkejut dengan perkara ini. Cuma apabila terlalu banyak sampai rasa penat hendak melayan, hal itu membuatkan isteri saya mengambil keputusan untuk berkongsi perkara itu dengan khalayak. Saya juga harap khalayak juga boleh buka mata tentang perkara ini dan sedar tekanan yang kami terima.

Pernahkah anda terfikir untuk mengambil tindakan kepada pihak yang mencetuskan fitnah berkenaan?

Tidak, saya cuma harap mereka dapat mengambil tindakan terhadap diri sendiri dengan mengubah perlakuan agar menjadi lebih baik. Bagaimanapun, jangan sampai ia menjejaskan periuk nasi saya kerana pada ketika itu saya tidak akan teragak=agak untuk bertindak.

Post a Comment

Previous Post Next Post