Duet perdana Siti Nurhaliza, Khai Bahar


Siti bersama Khai Bahar semasa majlis pelancaran single Cinta Syurga pada majlis pelancaran single Cinta Syurga di PWTC baru-baru ini.

Jika sesetengah penyanyi mengambil masa yang agak lama untuk kembali ke studio bagi merakamkan lagu baharu selepas melahirkan anak, namun lain pula ceritanya dengan penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tidak sampai lima bulan selepas menimang cahaya mata pertama beliau, Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu, Siti kini hadir dengan single bertemakan ketuhanan berjudul Cinta Syurga.

Berpeluang bertemu dengannya pada majlis pelancaran single Cinta Syurga yang di bu kota baru-baru ini, Siti bercerita tentang proses rakaman lagu berkenaan yang disifatkan tidak terlalu sukar.

Apatah lagi kata Siti, Cinta Syurga merupakan sebuah lagu berentak santai dengan alunan zikir yang tidak memerlukannya menyanyi dengan nada suara tinggi.

“Proses rakaman berjalan dengan mudah kerana lagu ini senang untuk dinyanyikan. Namun, tidak dinafikan, vokal saya masih ‘tebal’ dan memerlukan sedikit masa dan lebih banyak latihan untuk mengembalikan suara asal seperti sebelum bersalin,” katanya.

Siti berkata, tempoh berehat yang agak lama menyebabkan keupayaannya untuk menyanyi juga terbatas.

Jadi, beliau akan mula memulakan latihan sementelah jadual nyanyiannya akan kembali padat selepas hari raya.

“Selain berlatih vokal, saya akan kembali bersenam untuk mengembalikan stamina.

“Namun sejujurnya, untuk fasa sekarang, menyanyi dengan nada tinggi bukanlah satu keutamaan. Asalkan nyanyian saya sempurna dan sedap didengar, itu sudah memadai,” tambahnya.





Menariknya, lagu yang diadaptasi daripada lagu Comel Pipi Merah itu turut menampilkan vokal penyanyi baharu, Khai Bahar.

Artis baharu
Bercerita tentang pemilihan Khai Bahar, Siti berkata, penyanyi lagu Luluh itu dilihat mempunyai keupayaan mendendangkan lagu-lagu ketuhanan di samping kemantapan vokal.

“Ketika berbincang dengan pihak pengurusan, kami ada meneliti beberapa nama.

“Kami memutuskan untuk memilih Khai kerana dia mampu menyanyi pelbagai lagu dengan baik dan dalam masa yang sama cukup profesional ketika berada di studio rakaman,” kata Siti sambil memberitahu bahawa lagu Cinta Syurga hanya mengambil masa selama sejam untuk dirakam.

Pada masa yang sama, Siti berharap agar lagu berkenaan dapat diterima dengan baik, sebagaimana lagu Comel Pipi Merah yang menjadi siulan ramai beberapa bulan lalu.

“Jika sebelum ini peminat hanya sekadar menyanyikan lagu Comel Pipi Merah, kali ini, ia boleh dilagukan dalam bentuk zikir.

“Saya pasti, lagu ini dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya lagi.

Ditanya adakah beliau akan berkolaborasi dengan artis-artis baharu sama ada di atas pentas mahupun dalam bentuk rakaman lagu, ini jawapan Siti.

“Saya suka melihat penyanyi-penyanyi baharu yang berbakat besar semakin galak menyinari industri hiburan tempatan.

“Jika diberi kesempatan dan rezeki, saya mahu berduet dengan mereka,” ujar Siti sambil menamakan Ernie Zakri, Hael Husaini dan Syamel sebagai pemilik suara baharu yang mempunyai potensi besar dalam dunia hiburan.

Sementara itu, Khai turut melahirkan rasa teruja apabila diundang menjayakan lagu duet bersama Siti.

“Tentulah saya gembira. Siti merupakan idola saya sejak dahulu. Jadi, apabila ditawarkan untuk menyanyi bersama, saya terus memberi kata setuju,” ujar Khai dalam nada teruja.

Penyanyi yang bakatnya mula dikesan daripada aplikasi Smule itu turut berkongsi bahawa lagu Cinta Syurga diterima baik oleh khalayak.

“Sejak dilancarkan, saya menerima banyak komen positif daripada pendengar.

“Selain berhibur, saya berharap pendengar mendapat manfaat daripada kolaborasi ini,” katanya menutup perbualan.

Sejak dilancarkan di Youtube pada 25 Mei lalu, lagu Cinta Syurga telah meraih sebanyak lebih 600,000 tontonan.

Post a Comment

Previous Post Next Post