
Gara-gara gurauannya yang memanggil seorang wanita di sebelahnya dengan panggilan ‘wife’ menerusi sebuah video yang tular sejak dua hari lalu, penyanyi remaja, Tajul, 20, disangka telah berkahwin secara senyap-senyap.
Cerita tersebut mula menjadi bualan hangat di kalangan peminat Tajul termasuk netizen yang inginkan kepastian berhubung perkara tersebut.
Apatah lagi, wanita di dalam video tersebut turut meletakkan tanda #T Love #immarried di laman Instagramnya yang menguatkan lagi gosip yang mula tersebar itu.
Tajul yang kini popular menerusi lagu Hasrita ini bagaimanapun telah menafikan perkara tersebut dan menegaskan perkara tersebut hanyalah salah faham yang berlaku akibat gurauannya dengan teman wanitanya.
“Saya sedar itu salah saya (mengaku sudah beristeri), sebenarnya saya sengaja panggil teman wanita sebagai isteri untuk ambil hati.
"Tak sangka pula perkara ini menjadi isu besar. Saya minta maaf kerana salah cakap, saya belum berkahwin," katanya kepada sebuah portal hiburan.

Tidak sekadar itu, keluarga Tajul menerusi kenyataan yang disiarkan di sebuah akhbar juga menafikan Tajuk sudah berkahwin sebagaimana yang sedang diperkatakan ramai.
Meskipun pelbagai penafian telah dibuat, gosip tersebut masih lagi diperkatakan netizen sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Tajul turut memuat naik satu status di Insta Story miliknya dengan meminta netizen menjaga hal masing-masing.
"Mulut longkang ramai betul bulan puasa ni. Syaitan dah kena ikat dah. Sayangilah mulut anda, tak pasal-pasal je kau terjamah benda yang tak patut kau jamah der.
"Jaga hal sendiri dah. Nak cakap kau besar, aku pun hidup bukannya sebatang kera. Tapi kita ada undang-undang. Tak perlu angkat lu punya baju tinggi-tinggi.
“Sedih. Hormat satu sama lain, tu pun dah cukulah brader. Asslamualaikum," tulisnya.
Namun tidak pasti tulisan tersebut ditujukan kepada siapa.