Jangan terlalu serius Aiman Hakim


Lazimnya, jika watak sebagai pasangan kekasih itu berjaya dilakonkan, peminat akan melihat pasangan pelakon tersebut seperti benar-benar bercinta.

Walau bagaimanapun, harus ditekankan bahawa itu hanyalah lakonan semata-mata.

Justeru itu, pelakon Aiman Hakim Ridza berharap gandingannya bersama Hannah Delisha, 22, menerusi drama Cruise Cinta Lebaran (CCL) yang dijadualkan bersiaran pada Hari Raya Aidilfitri nanti, peminat tidak terlalu serius apabila melihat lakonan mereka.

"Saya rasa kami berdua memang ada keserasian yang bagus bila berlakon bersama.

"Bagi saya ia satu perkara yang bagus, positif kita ambil. Tapi kalau perspektif negatifnya saya rasa tidak ada.

"Tetapi, jangan terlalu ambil serius sebab ini hanya cerita dan kami hanya berlakon sahaja," ujarnya.





Figura 29 tahun ini juga berkata, aktres kelahiran Singapura itu seorang yang berfikiran dewasa.

"Sebenarnya saya terkejut sebab dia seorang yang matang malahan saya kagum dengan cara dia berfikir.

"Memandangkan drama ini romantik komedi, jika disoal adakah dia seorang yang pandai berlawak, dia sangat comel bila melakonkan watak yang dibawa itu," katanya jujur.

Aiman ditemui semasa tayangan eksklusif drama Pelangi Cinta yang diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Belum lagi ditayangkan, drama CCL sudah mendapat reaksi positif daripada peminat drama televisyen.

Dalam perkembangan lain Aiman kini terlibat dengan penggambaran drama adaptasi Korea berjudul, Full House, juga sekali lagi digandingkan dengan Hannah Delisha.

Post a Comment

Previous Post Next Post