
Jenama bacaan keibubapaan popular, majalah Pa&Ma terbitan Nu Ideaktiv Sdn Bhd yang merupakan syarikat usahasama Astro dan Karangkraf bakal mencetus fenomena menerusi rancangan televisyennya sendiri.
Berpaksikan jualan majalah lebih 40,000 naskhah setiap keluaran dan juga pelawat laman sesawang www.pama.my yang mencecah 1.3 juta orang sebulan, transisi ke dunia penyiaran ini dilihat mampu mengupas perihal keibubapaan secara lebih interaktif, mendalam dan juga mencapai sasaran penonton yang luas.
Dihoskan oleh pasangan selebriti popular, Eira Syazira dan Azad Jazmin rancangan berdurasi 30 minit ini akan membincangkan topik-topik yang dekat dengan masyarakat berkenaan perkara-perkara yang terjadi kepada anak-anak kecil.
Berkongsi pemilihannya dan suami sebagai pengacara program Pa&Ma, Eira berkata, antara sebab utama dia tertarik untuk menjadi pengacara adalah disebabkan majalah Pa&Ma sudah memberi pelbagai manfaat kepada golongan ibu bapa.
Katanya, berpeluang bergandingan dengan suami sendiri juga antara faktor lain yang menyebabkan dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran daripada Astro.
"Ini merupakan pertama kali saya menceburi bidang pengacaraan, manakala Azad sudah berpengalaman menjadi pengacara sebelum ini.
"Memang tidak dinafikan, saya agak gemuruh ketika pertama kali berdiri di hadapan kamera, walaupun sudah biasa dengan kamera.
"Tapi untungnya kami apabila Astro mahu kami jadi diri sendiri, bagaimana kami mengajar anak, bagaimana gila-gilanya kami suami isteri.
"Jadi kami kekalkan momentum itu dan secara tidak langsung ia membantu saya untuk menyampaikan input secara santai dan tenang," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah wanita berusia 34 tahun ini, di samping menyampaikan info kepada penonton, mereka juga mendapat input dan pengalaman berguna dalam mendidik anak-anak.
"Setakat ini kami sudah menjalani penggambaran untuk tiga episod iaitu Jutawan Cili, Anak Tabung Uji dan Anak Syurga yang menjurus kepada anak autistik.
"Apa yang penting, apabila menyampaikan, kami tak lari daripada tajuk dan skrip, tetapi masih enjoy dengan penyampaian.
"Mudahnya bila bergandingan dengan suami sendiri, chemistry itu dah ada dan secara tak langsung saya enjoy menjadi pengacara," jelasnya.
Apa yang diharapkan oleh ibu kepada tiga orang anak perempuan ini, penonton akan terhibur, enjoy dan mendapat manfaat daripada apa yang cuba mereka sampaikan.
"Selain kita enjoy, kami juga berharap penonton, khususnya ibu bapa akan mendapat ilmu baharu, input berguna dan membantu lagi ibu bapa untuk menjaga dan mendidik anak-anak," katanya.
Bakal ditayangkan menerusi slot Dewi, program Pa&Ma akan menemui penonton di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) bermula 12 Jun ini, setiap Selasa, jam 12 tengah hari.
Setiap episod dalam program Pa&Ma akan menampilkan ibu bapa yang berkongsi kisah anak-anak mereka serta pakar yang arif untuk memberi nasihat serta input yang positif seiring dengan tagline majalah Pa&Ma iaitu panduan lengkap keibubapaan dan pra-sekolah.