Pelakon, Farah Nabilah mengakui lega belum ada golongan VIP yang menghimpit untuk menajanya meskipun namanya sangat popular sekarang.
Farah, 26, berkata dirinya sendiri bukan jenis suka bersosial dan lebih selesa duduk di rumah apabila tidak bekerja.
“Saya ditaja oleh bapa saya saja. Saya duduk rumah saja dan nak cari orang yang mahu taja pun tiada.
“Setakat ini Alhamdullilah tiada siapa yang cuba kacau. Mungkin sebab saya pun bukan jenis yang suka bersosial.
“Saya habis kerja pun terus pulang ke rumah dan tidak cuba mulakan pun perkara begitu. Saya ada kawan-kawan rapat sendiri termasuklah Izara Aishah dan kalau bosan akan lepak dengan mereka saja,” katanya.
Farah mengakui bahawa dia lebih rela bekerja-keras daripada bersosial demi berbakti kepada keluarganya.
“Saya dibesarkan ibu bapa sentiasa menerapkan sifat berdikari dan tahu merancang masa depan. Lagipun saya adalah anak sulung daripada enam beradik dan kena bersedia memikul tanggungjawab mereka.
“Meskipun datang daripada keluarga yang berkemampuan namun dari dulu saya lebih suka kerja-keras. Saya sendiri langsaikan hutang pinjaman pendidikan di kolej dulu dan syukur sudah mampu beli sebuah rumah sendiri,” katanya.
Farah memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti SEGi dan namanya mula meledak selepas membintangi drama Titian Cinta bersama Zul Ariffin.