Pada era dunia digital hari ini, media sosial menjadi satu platform perkongsian yang sangat digemari ramai.
Bagaimanapun bukan semua perkara yang sesuai dikongsikan kepada umum tanpa sempadan apatah lagi apabila ia bersifat peribadi atau sesuatu yang mungkin boleh menimbulkan rasa kurang senang, apatah lagi memudaratkan pihak lain.
Perkara itu turut disuarakan pengacara dan penyampai radio popular, Faizal Ismail atau FBI yang tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pengguna media sosial yang memuat naik video isteri sedang bersalin.
“Maaf, saya tak sokong upload video saat-saat isteri tengah nak bersalin, walau dalam apa keadaan sekalipun.
“Ia adalah saat sangat peribadi, apatah lagi si isteri tengah bersabung nyawa. Lebih baik berdoa dan baca apa yang patut. Ia bukan untuk tontonan umum,” luah Faizal menerusi laman Instagramnya.
Faizal juga menganggap alasan untuk memberikan pengajaran sebagai sebab video tersebut dimuat naik hanyalah untuk membenarkan perbuatan mereka semata-mata.
Malah dalam perkongsian tersebut juga, bapa kepada lima anak ini mengharapkan pandangan daripada pakar dalam bidang agama berhubung perkara ini.
“Alasan untuk bagi pengajaran kepada yang lain adalah sekadar nak ‘halalkan’ perbuatan. Ramai yang tak tengok video pun masih menghormati ibu dan isteri.
“Harap tak ada lagi yang buat. Mungkin perlu pandangan dari pakar agama dalam hal ini.” tegasnya.
Bagaimanapun teguran tersebut tidak ditujukan kepada sesiapa, sebaliknya bekas penyampai Hot FM hanya menyuarakan pendapatnya secara terbuka.