Namanya sedang menjadi sebutan khalayak selepas membintangi drama rantaian Hero Seorang Cinderella pada tahun lalu. Sejak itu, pelbagai tawaran tidak mengira sama ada watak hero, duta produk mahupun iklan komersial memburu untuk mendapatkan khidmatnya.
Syukur dengan rezeki Tuhan, 2018 diibaratkan sebagai tahun ‘durian runtuh’ buat pemilik nama Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim yang sekali gus menjadikan dirinya tidak menang tangan melunaskan segala kepercayaan orang terhadapnya.
Atas alasan tersebut, pelakon yang dikenali dengan nama Fikry Ibrahim kini semakin bijak mengatur agenda seni agar lebih banyak masa diberikan kepada keluarga.
Berbeza pada tahun lalu, Fikry banyak menghabiskan Ramadan di set penggambaran berbanding keluarga sehingga berkesempatan pulang ke kampung halaman hanya sekitar dua hari sebelum Syawal.
Bukan sekadar pulang lewat, bahkan Fikry sendiri tidak berpeluang menghabiskan masa bersama keluarga di Kedah kerana terpaksa ke Kuala Lumpur selepas tiga hari bercuti.
Enggan sejarah berulang kembali, tahun ini awal-awal lagi merencana aktiviti seni sehingga membolehkan dirinya membuat persediaan Aidilfitri seminggu lebih awal.
“Jika diikutkan saya tidak mahu bekerja sepanjang Ramadan kerana ingin memberi fokus kepada ibadah yang datang sekali dalam setahun.
“Namun, disebabkan tuntutan kerja demi mencari rezeki, saya reda. Syukurlah, tahun ini saya dapat pulang ke kampung lebih awal termasuk berehat di kampung sekitar seminggu,” tuturnya sambil ketawa.
Riak gembira terpancar pada wajahnya tatkala bercerita tentang kampung halaman. Kesempatan bercuti memberi ruang buatnya berpuasa di samping keluarga tersayang.
Tahun kedua meraikan lebaran sebagai anak seni, Fikry juga tidak menjadikan status sebagai selebriti membuatkan dirinya mengikut resmi jagung, semakin berisi semakin tegak.
Lebih senang dengan cara bersederhana, Fikry yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu banyak memberi fokus kepada keluarga berbanding diri sendiri.
Rumah terbuka
Memandangkan pada tahun ini, Fikry berkesempatan menghabiskan masa sekitar dua minggu bersama keluarga, pelakon telefilem Cekelat Semanis Honey itu berusaha mencuri peluang untuk meraikan lebaran bersama peminat.
Berkongsi cerita mengenai rumah terbuka, Fikry mengambil masa seketika sebelum melepaskan ketawa kecil. Katanya, pengalaman tahun lalu membuatkan dia kini lebih berjaga-jaga.
Mengakui peminat merupakan tulang belakang dalam menentukan kompas kerjaya tetapi Fikry berharap tetap mempunyai privasi buat keluarga.
“Pertama kali menyambut Aidilfitri sebagai artis pada tahun lalu, saya tidak menyangka peminat akan berkunjung sehingga tengah malam dan adakalanya kediaman kami sesak dan meriah.
“Tiada niat menghalau apatah lagi berkata jangan tetapi agak melucukan apabila peminat datang ke rumah semata-mata untuk menonton drama rantaian Hero Seorang Cinderella yang ketika itu masih ditayangkan di televisyen,” ujar Fikry tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas.
Tiada meletakkan batas waktu kepada peminat yang ingin beraya ke kediamannya di Kampung Napoh, Jitra, Kedah, Fikry mengakui lebih membuat persediaan terutama melibatkan hidangan buat tetamu agar tidak menjejaskan kemeriahan sambutan Aidilfitri.
Enggan membiarkan tetamu hadir tanpa santapan, tahun ini sahaja jejaka berusia 24 tahun itu telah membuat tempahan makanan untuk lebih 200 orang pada Syawal pertama.
“Saya lebih berjaga-jaga agar tidak mengalami masalah kekurangan makanan seperti berlaku pada tahun lalu,” jelasnya yang menyatakan rumah terbuka untuk peminat akan dilakukan pada hari raya pertama.
Sejurus selepas seminggu menyambut lebaran di desa, Fikry kembali menjalankan tugas di ibu kota dengan memenuhi undangan majlis dan meneruskan aktiviti seni seperti biasa.