Sebaik ditayangkan pada malam 1 Ramadan lalu, drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd (JSPSB), Isteri Untuk Diiktiraf mendapat perhatian penonton drama tempatan.
Sepanjang minggu lalu, ia turut menjadi ‘trending’ di Twitter dan menjadi antara drama yang mendapat perhatian ramai bersama satu lagi drama sedang ditayangkan di TV3, Nur.
Ternyata JS Pictures membuktikan mereka memiliki formula untuk memastikan setiap drama diterbitkan mampu mencatat rating tinggi, walaupun pada masa sama perlu bersaing dengan slot drama popular di beberapa stesen TV lain.
Pengarah Urusan JS Pictures Sheila Rusly berkata, dia bersyukur atas sambutan baik diterima dan menjelaskan pihaknya tidak memiliki formula tertentu dalam memastikan karya dihasilkan mampu menarik perhatian penonton drama tempatan.
“Jika diikutkan JS Pictures tidak ada formula khusus dalam menarik perhatian penonton, cuma pada awal siaran kami meminta pelakon drama itu mempromosikan di laman sosial mereka.
“Sekiranya berjaya mengikat minat penonton dari awal episod, ia akan membantu untuk mereka terus menontonnya. Bagaimanapun, paling penting adalah kualiti jalan cerita.
“Jika kita berjaya mengikat minat penonton tetapi jalan ceritanya tidak menarik lama-lama minat untuk mengikuti jalan cerita seterusnya akan hilang,” katanya.
Isteri Untuk Diiktiraf yang ditayangkan setiap hari, jam 7 malam di TV1 membariskan pelakon seperti Datin Elvina Mohamad, Redza Rosli, Janna Nick, Diana Roza dan Sheila Rusly.
Ditanya mengenai drama berkenaan menewaskan dua lagi drama yang ditayangkan di stesen TV lain, Sheila berkata, dia tidak pasti mengenai drama terbitannya itu menjadi pilihan ramai berbanding drama lain.
“Itu saya tidak pasti memandangkan waktu sama memang banyak drama berkualiti dan bagus ditayangkan. Jika Isteri Untuk Diiktiraf antara drama dipilih penonton, sudah pastinya saya berbangga dan bersyukur kerana hasil kerja keras berbulan-bulan di lokasi dihargai,” katanya.
Menurut Sheila, bukan mudah untuk memenangi hati penonton.
Walaupun muncul ‘trending’ dan hangat diperkatakan, drama berkenaan turut menjadi bahan cemuhan.
Sheila berkata, ada penonton tidak suka dengan mendakwa apa yang diketengahkan dalam Isteri Untuk Diiktiraf terlalu klise dan pengakhiran cerita sudah boleh jangka.
“Itu terpulang kepada individu. Kalau tidak suka, tidak ada paksaan untuk menontonnya. Sebagai penerbit saya menghasilkan drama ini bersandarkan pada genre dan juga garis panduan yang diberikan stesen TV.
“Jika ada berasakan Isteri Untuk Diiktiraf yang dipilih untuk ditayangkan sepanjang Ramadan ini klise, meleret, bosan atau drama Melayu tidak ada peningkatan, saya mohon maaf kerana sebagai penerbit kita menghasilkan drama ini berdasarkan apa yang stesen TV mahukan.
“Jika penonton rasa terhibur, saya bersyukur. Kalau mereka tidak boleh terima tiada apa yang dapat saya lakukan. Penerbit seperti saya membuat perniagaan dengan stesen TV, tetapi perkara seperti itu kadang-kadang penonton tak faham,” katanya.
Menurut Sheila, selaku penerbit dia tidak menghasilkan drama suka-suka untuk tontonan sendiri sebaliknya ia cuba disesuaikan dengan semua lapisan masyarakat.