Cerita raya Hael Husaini


Ramadan kali ini pastinya disambut berbeza oleh penyanyi lelaki ini. Berbeza pengalaman namun berkongsi tangga populariti, kejayaan yang ditempa Hael Husaini mengukuhkan namanya dalam industri.

Populariti bukan satu tanda rasa yang dikejar pemilik nama Hal Husaini Razmi. Pada usia mencecah 30 tahun, dia membulatkan fokus dan semangat untuk terus berjaya dalam bidang seni.

Tidak pernah lelah dalam menaburkan benih di laman seni, Hael sentiasa meletakkan kualiti lebih utama berbanding kuantiti. Justeru tidak hairanlah, dia tidak pernah mengambil mudah kerja-kerja seninya.

Tiada istilah rehat dalam hidupnya kini, Hael menganggap kudrat yang dikurnia sebagai satu petunjuk daripada Illahi supaya dia menggunakan pengaruhnya sebaik mungkin.

Sedekad mencuba nasib dalam dunia seni, Hael menganggap dia sudah puas berehat. Kini masa dia untuk melebarkan sayap lebih tinggi di langit seni yang penuh cabaran dan ranjau.

“Selalunya, bulan puasa saya akan memberi semula kepada semua yang telah membantu saya dan kepada mereka yang lebih memerlukan. Rezeki yang dikecapi perlu dikongsi.

“Sekarang fokus saya terus kerja dan melebarkan pengaruh seni. Sudah masuk usia 30 tahun ini, kita kena kerja lebih keras,” katanya.

Kekal berjiwa hamba biarpun mengecapi populariti, penyanyi yang mengungguli Anugerah Juara Lagu Ke-32 menerusi lagu Jampi ini tidak pernah meletakkan status sebagai prinsip hidupnya.

Sahabat dan mereka yang selama ini percaya dengan bakatnya adalah harta dunia akhirat yang akan ditatang dengan penuh sayang. Tiada sebab untuk dia berubah hati dan mula bersikap angkuh dengan kejayaan.





Lebaran untuk Helena

“Saya tunggu 10 tahun untuk rasai kejayaan hari ini. Jadi saya menghargai mereka yang berada di sisi saya ketika bermula dari bawah.

“Sombong dan berlagak bukan prinsip hidup saya. Seronok sebenarnya apabila kita dengan ikhlas hati memberi rezeki dan kasih kepada orang. Jujur dalam setiap langkah, insya-Allah Tuhan akan jaga rezeki kita,” katanya.

Tidak sekali-kali menyangka tahun ini dia sekali lagi beraya sebagai seorang bapa, memelihara Nur Helena sebagai anak angkat tahun lalu mengubah kehidupan Hael seratus peratus.

Bakal pulang ke kampung halaman, Seri Menanti, Negeri Sembilan pada hari raya pertama nanti, Hael menyediakan beberapa pasang baju raya untuk anak perempuannya yang kini berusia setahun.

“Konsep saya mudah, apa dia pegang saya beli. Sebab itu saya tak boleh cakap berapa pasang baju yang disediakan untuk Helena. Sekarang baju saya tak penting tapi baju dia lebih utama.

“Semua ini rezeki dia sebenarnya. Saya hanyalah seorang penjaga kepada rezeki-rezekinya. Saya ambil tanggungjawab untuk jaga dan asuh dia. Keutamaan semua kepada dia,” katanya.

Menyambut Lebaran secara bersederhana, Hael juga bersyukur ramai sahabatnya malah peminat menyayangi puterinya yang cukup istimewa itu.

Dia berasa bertuah kerana menjaga amanah Tuhan itu.

“Sekarang masa lebih kepada keluarga. Selepas kerja nak balik rumah cepat sebab nak bermanja dengan anak. Saya nak tengok dia membesar depan mata,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post