Asmidar bakal melancarkan single baharu yang dijadualkan menemui peminat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bukan sekadar memiliki bakat dalam bidang nyanyian, anak jati Kuala Lumpur, Asmidar kini melangkah setapak ke hadapan dengan menyertai persembahan teater bangsawan.
Meskipun bukan pertama kali terlibat dengan dunia pementasan tetapi naskhah bertajuk Bangsawan Dendam Laksamana merupakan karya sulung penglibatannya dalam teater berbentuk bangsawan.
Sebelum ini, Asmidar atau nama lengkapnya, Norhasmidar Ahmad, 32, pernah mendukung watak sebagai Junaidah menerusi Teater Muzikal P. Ramlee pada 2015.
Pementasan Bangsawan Dendam Laksamana merupakan salah sebuah program Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya yang akan berlangsung di lapan buah lokasi iaitu Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kuala Lumpur.
Teater hasil tulisan Siti Jasmina Ibrahim itu dibintangi antaranya oleh Nadia Aqilah Bajuri, Hairi Safwan, Jay Iswazir, Anwar Rusdini dan Asmidar.
Kesibukan tersebut bagaimanapun tidak menghalang pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang itu untuk terus aktif menjalani ibadah Ramadan, sekali gus melakukan persiapan Syawal.
KOSMO!: Bolehkah Asmidar kongsikan mengenai penglibatan dalam program Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya yang diusahakan oleh Pat Ibrahim Project Entertainment?
ASMIDAR: Sejujurnya ini merupakan pertama kali saya terlibat dalam naskhah berbentuk teater bangsawan. Saya membawa watak sebagai Tun Aria iaitu kawan baik kepada Wan Anum lakonan Nadia Aqilah.
Biarpun pertama kali terlibat dalam teater bangsawan, tetapi sebelum ini saya pernah menjayakan pementasan Teater Muzikal P. Ramlee (2015) dengan membawakan watak sebagai Junaidah.
Bukan sahaja memberi fokus kepada pementasan, semasa acara ini turut diadakan forum, pameran, jualan, dan bengkel teater.
Acara tersebut turut mendapat kerjasama daripada institusi pendidikan tempatan, seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Utama Malaysia
Acara bermula pada 25 Jun hingga 1 Julai (Johor), 2 hingga 8 Julai (Melaka), 9 hingga 15 Julai (Pahang), 15 hingga 21 Julai (Terengganu), 22 hingga 28 Julai (Pulau Pinang), 30 Julai hingga 5 Ogos (Kedah), 5 hingga 11 Ogos (Perak) dan 29 Oktober hingga 11 November (Kuala Lumpur).
Tiket mula dijual pada harga RM30 hingga RM80 menerusi talian hotline 019 3036008 atau layari pipent.peatix.com bermula 25 Mei lalu.
Apakah yang mendorong anda untuk terlibat dalam naskhah tersebut memandangkan ia merupakan penglibatan sulung?
Pada awalnya memang saya agak gementar tetapi setelah difikirkan, tidak salah sekiranya mencuba kerana ia merupakan perkara baharu yang akan dipelajari.
Tambahan pula, pementasan ini juga memperuntukkan saya untuk berlakon, menyanyi dan menari.
Bukan sekadar peluang untuk menimba pengalaman baharu, malah penglibatan dalam teater ini juga mengukuhkan portfolio seni agar dapat menjadi artis yang versatil.
Adakah anda telah menjalani latihan memandangkan pementasan pertama dijadualkan pada 25 Jun ini?
Ya, kami telah memulakan sesi latihan sekarang iaitu bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 5.30 petang sebelum bersambung semula pada 9 hingga 11 malam.
Saya akui agak gementar sewaktu melakukan sesi latihan kerana kebanyakan artis yang terlibat merupakan golongan profesional dengan pementasan teater. Justeru, ia membuatkan saya berasa kecil dan mudah gugup terutama ketika ingin berdialog.
Memandangkan naskhah ini merupakan karya bangsawan, jadi banyak dialog yang lontarkan lebih bersifat puitis dan mempunyai makna mendalam.
Perkara tersebut memperuntukkan saya untuk melakukan kajian dengan menonton beberapa filem klasik tempatan.
Bagaimanakah aktiviti seni yang lain. Adakah anda telah melakukan sebarang persiapan menyambut Syawal sekiranya memberi fokus kepada sesi latihan teater?
Buat masa sekarang saya lebih memberi fokus kepada sesi latihan memandangkan ia akan dimulakan selepas sambutan Aidilfitri. Justeru itu saya perlu pastikan segala persiapan lengkap.
Disebabkan terikat dengan pementasan, saya tidak dapat bersama keluarga yang berniaga martabak di bazar Ramadan Wangsa Maju. Sekiranya ada kelapangan saya akan bersama mereka untuk berbuka puasa.
Selain itu, mengenai persiapan raya, saya sekeluarga akan melakukannya secara sederhana. Kekal seperti biasa, kebanyakan perkara seperti pakaian dan juadah biskut raya akan dilakukan pada saat akhir kerana ia merupakan waktu terluang buat kami sekeluarga kerana cuti berniaga.
Selain terlibat dengan lakonan teater, bagaimanakah kerjaya seni anda yang lain?
Buat masa sekarang saya masih dalam proses pembikinan single baharu yang dijadualkan menemui peminat selepas sambutan hari raya. Ia masih mengekalkan genre balada tetapi lagu tersebut akan diberikan sedikit sentuhan gaya muzik era 1990-an.