Pengacara dan pelakon popular, Datuk Aznil Nawawi meneruskan tradisi meraikan anak-anak terpilih dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dengan membawa mereka membeli-belah persiapan di Tesco Mutiara Damansara baru-baru ini.
Ini merupakan tahun ketiga aktiviti beli-belah persiapan raya anak-anak SBJK ditanggung sepenuhnya oleh pihak pasar raya Tesco yang merangkumi sekitar 151 orang pelajar berusia dari empat hingga 19 tahun.
Menurut Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, beliau dapat melihat perubahan ketara terhadap anak-anak tersebut berbanding tiga tahun lalu apabila sudah mula mempunyai keyakinan diri dan lebih peka dengan apa yang diperlukan untuk menyambut hari raya.
Katanya, meskipun mereka semua tahu bahawa barangan yang dibeli adalah percuma, tidak seorang pun yang mengambil barang secara berlebihan dan hanya memilih apa yang diperlukan sahaja.
“Saya bangga melihat anak-anak SBJK yang tidak tamak dan cukup berhemat saat dibawa membeli-belah biarpun mereka diberi kebebasan mengambil apa jenis barangan yang diingini.
“Jika tiga tahun lalu mereka seperti keliru dan tidak memahami konsep persiapan raya, namun kali ini nampaknya anak-anak ini sudah mulai faham keterujaan untuk menyambut Syawal,” katanya ketika ditemui selepas aktiviti beli-belah selesai.
Contoh
Sementara itu, pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Tesco serta Pak Nil yang tidak jemu-jemu melayan kerenah pelajarnya sepanjang tempoh tiga tahun ini setiap kali menjelang Lebaran.
Beliau yang berasa terharu melihat riak gembira anak-anak terpilih itu saat diberi peluang membeli-belah berkata, ia merupakan antara aktiviti paling ditunggu oleh mereka apabila tibanya bulan Ramadan.
“Tiga tahun lalu, mereka tidak mengerti apa itu kegembiraan menyambut Aidilfitri kerana keadaan keluarga yang serba kekurangan dan tidak mampu meraikan suasana Syawal seperti orang lain.
“Sejak Pak Nil yang juga merangkap Ikon SBJK memulakan tradisi beli-belah baju raya sambil dibantu Tesco, mereka semakin bersemangat untuk berpuasa dan gembira menanti hari raya,”ujarnya lagi.
Zulkernai berharap dengan adanya inisiatif yang ditunjukkan oleh selebriti popular seperti Pak Nil dan pasar raya terkemuka seperti Tesco akan dapat menarik lebih ramai pihak untuk membantu anak-anak ini.