A Aida Komitmen terbit program Islamik


Penerbit, Datuk A Aida berkongsi khabar gembira apabila kontraknya sebagai pengeluar program bagi saluran Salam HD di Hypp TV disambung untuk tiga tahun lagi bermula 5 Mei lalu.

A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 47, berkata, syarikatnya sekali lagi diberi kepercayaan menerbitkan rancangan untuk saluran itu.

“Ini tahun keempat pihak Hypp TV memberi kepercayaan kepada syarikat saya untuk menguruskan Salam HD. Ia sesuatu yang amat membanggakan.

“Alhamdulillah, mereka melihat kemampuan syarikat saya untuk menyediakan kandungan dan program bagi mengisi saluran ini.

“Sejak tiga tahun lalu, syarikat saya sudah membekalkan 300 jam rancangan bagi saluran berkenaan yang lebih kepada kandungan berbentuk Islamik,” katanya.

A Aida berkata, program disediakan merangkumi 60 peratus rancangan berkisar ceramah agama pelbagai genre manakala 40 peratus lagi ialah drama dan dokumentari.

Antara rancangan yang mendapat sambutan di saluran itu ialah Ceritaku, Diari Ustaz, Syukurlah, Cerita Bintang, Ustaz Masak dan Jalan-Jalan.

“Setakat ini diang­garkan 1.2 juta orang menjadi pelanggan unifi, penyedia Internet berkelajuan tinggi yang memiliki saluran Hypp TV.





“Jadi, ini sedikit sebanyak memberi nafas baru kepada Hypp TV, sekali gus membolehkan mereka menonton program disediakan menerusi saluran Salam HD,” katanya.

Dalam perkembangan lain, A Aida kini berada di Eropah bersama tiga anaknya, Wan Az Aleesa, 22, Wan Azevanata­ssha, 17, dan Muhammad Rahul, 10, bagi menyambut Aidilfitri.

Antara negara dikunjungi ialah Belanda, Itali, Jerman, Switzerland, England, Perancis, Austria dan Republik Czech.

“Saya bertolak pada malam raya lalu dan insya-Allah pulang ke tanah air awal bulan depan. Saya tiba di Amsterdam, Belanda dulu sebelum bertolak ke destinasi lain.

“Ini pengalaman pertama saya bersama anak menyambut Aidilfitri di luar negara. Pastinya ini memberikan pengalaman baru buat saya apatah lagi percutian kami pada Syawal.

“Selalu tengok orang lain saja, jadi saya nak juga merasai suasana beraya di perantauan. Setakat ini semuanya okey dan berjalan lancar,” katanya.

Menurut A Aida, keputusan itu dibuat kerana tahun ini semua adik-beradiknya pulang beraya di rumah mentua masing-masing selain ibu bapanya sudah meninggal dunia.

Walaupun tidak dapat menyambut lebaran bersama keluarga dan rakan, A Aida berjanji akan menziarahi mereka selepas pulang ke tanah air.

“Kita beraya sebulan, jadi saya balik nanti masih sempat beraya dengan keluarga dan rakan. Kalau ada jemputan rumah terbuka, Insya-Allah saya sampai.

“Cuma, tahun ini tidak dapatlah mereka makan masakan saya seperti sebelumnya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post