Pelakon berusia 32 tahun ini mendedahkan rutin Ramadan dan rayanya tidak lagi sama selepas ibunya meninggal dunia pada Disember tahun lalu.
Raut wajah Zul Ariffin kelihatan tenang menelusuri jadual sebagai pelaku seni.
Memang secara luarannya hidupnya dilimpahi rezeki lakonan dan kemilau seorang bintang, namun gelojak di jiwa mengisi Ramadan pertama tanpa ibu di sisi tiada siapa yang tahu.
Sebagai lelaki yang dianggap macho di mata umum, diajak menyelak memori semalam bersama arwah ibu, Zul cuba untuk berlagak tenang.
Namun, ternyata rawan masih bersisa di jiwanya mengenang kembali pengalaman berpuasa dan menyambut raya bersama ibu pada tahun lalu.
“Rutin bulan puasa dan raya pada tahun ini dah tak sama. Rasa kosong dan tak lengkap,” lentur Zul berkali-kali dalam loghat utara yang agak pekat.
Jadi uber
Memang menjadi rutin di bulan puasa, ibunya yang nenetap di Taiping, Perak akan bertandang ke rumah anaknya di Kuala Lumpur untuk bersahur dan berbuka bersama anak-anak. Begitu juga pada Ramadan tahun lalu.
“Selalunya saya akan sibuk di set penggambaran, tetapi saya akan tetap luangkan masa untuk membawanya dan keluarga berbuka di luar. Cuma pada tahun ini saya rasa rutin berbuka itu tidak lagi dapat dinikmati selepas ibu sudah tiada,” kongsi Zul yang kehilangan ibu tercinta, Robiah Nasir pada Disember tahun lalu akibat serangan jantung.
Zul juga mendefinisikan sambutan rayanya pada tahun ini tidak sempurna tanpa ibunya di sisi. Malah, rutin rayanya juga berubah 100 peratus memandangkan dia sering menjadi ‘uber’ ke mana sahaja ibunya mahu pergi.
“Selalunya saya akan tanya dia mahu ke mana? Kalau ikut rutin raya, biasanya saya akan bawanya melawat kubur arwah tok dan kemudian ke masjid untuk solat hari raya. Saya juga akan mengiringinya sehingga ke pintu masjid tetapi untuk raya tahun ini saya tak dapat buat lagi. Mungkin balik ke Taiping juga hanya seketika,” ujarnya yang mengaku selepas ini rutinnya bertukar untuk melawat kubur ibunya yang terletak di Mont Kiara pula.
Masih mempunyai ayah yang menetap di kampung. Cuma, akrabnya hubungan Zul dan ibu membuatkan kehidupan lelaki berusia 32 tahun itu seakan-akan terhenti.
Ralat
Cuba menggali lubuk jiwanya. Dia memberitahu, arwah ibunya suka berjalan dan disebabkan itu Zul selalu membawa arwah ke majlis-majlis hiburan termasuk lokasi penggambaran filem. Dia juga sebenarnya merancang untuk membawa ibunya bercuti ke merata tempat.
“Ibu sebenarnya tak percaya saya jadi pelakon. Kalau ikutkan, dia mahu saya kerja dengan kerajaan,” luah Zul sambil ketawa mengenangkan keinginan arwah ibunya itu.
Sambung Zul lagi: “Maka disebabkan itu saya suka bawa dia pergi majlis anugerah dan lokasi penggambaran. Hendak dia tengok macam mana kerja saya. Cuma, saya rasa ralat sedikit arwah tidak dapat melihat kejayaan saya memenangi kategori Aktor Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL) baru-baru ini.
“Kebetulan ketika kemenangan saya itu jatuh pada Hari Ibu. Sama halnya pada tahun lalu, saya memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu yang ketika itu juga jatuh pada Hari Ibu. Cuma bezanya, ketika itu ibu turut sama ke majlis anugerah bagi meraikan kejayaan saya itu,” ujar Zul yang turut ralat tidak dapat membawa ibunya ke Bukit Fraser untuk melihatnya berlakon dalam filem Misteri Dilaila.
Dalam perkembangan lain, Zul sudah memanaskan agenda seninya pada tahun ini dan tahun depan dengan rangkaian drama serta filem yang menanti untuk ditayangkan.
Menyusun judul-judul seperti Misteri Dilaila, Hantu Kak Limah 3, J Revolusi 2, Sangkar dan Ti Amo, Sweetheart 100 Hari!, rangkaian naskhah itu akan memekarkan lagi nama Zul di arena seni hiburan tanah air.
“Ketika ini, saya sibuk dengan penggambaran filem Sangkar. Jadi, sepanjang Ramadan saya akan berada di set penggambaran filem itu dan berkemungkinan dua atau tiga hari sebelum raya baru habis. Cuma cabarannya, filem arahan Kabir Bhatia itu menuntut saya melakukan banyak aksi lawan dan penggambaran pula berlangsung pada bulan Ramadan,” katanya mengenai filem yang dijangka ditayangkan pada Mei tahun depan.
Mencuba rentak baharu dalam perfileman dengan berlakon komedi dalam filem Hantu Kak Limah, Zul mengaku, dia bukan seorang yang kelakar.
“Saya tidak kelakar. Sebaliknya yang kelakar ialah pengarah filem itu, Mamat Khalid. Saya cuma lakukan apa yang pengarah pinta,” ujarnya yang tidak terfikir untuk digelar sebagai pelakon komedi.
Laku dalam arena filem mahupun drama, Zul tidak menafikan kuasa kedua-dua platform tersebut.
“Dahulu memang filem kuat pengaruhnya berbanding drama. Disebabkan itu ada pelakon yang selektif dan hanya berlakon dalam filem semata-mata. Namun, sekarang drama punya pengaruh lagi kuat daripada filem. Tetapi saya tidak menafikan prestij yang terdapat pada sesebuah filem itu. Sebagai pelakon, saya cuma mahu kekalkan momentum dan jaga audiens filem mahupun drama lakonan saya,” ujarnya lagi.