Emma Maembong Kalau orang masuk meminang, saya kahwin


Emma tidak mahu memikirkan soal cinta buat masa ini dan hanya mahu berkawan dengan semua orang.

Kisah percintaan aktres Emma Maembong sering kali menjadi tumpuan umum. Biarpun episod cintanya bersama pelakon Kamal Adli dilaporkan sudah putus di tengah jalan sekitar penghujung tahun lalu, namun umum masih mahu memburu kisah peribadinya.

Sungguhpun begitu, pelakon berusia 26 tahun itu memberitahu, sehingga saat ini dia masih lagi kekal berstatus solo. Baginya, dia selesa dengan kehidupannya kini yang tidak mempunyai sebarang komitmen dengan mana-mana hubungan percintaan.

“Saya solo. Tiada sesiapa pun (yang istimewa). Lagipun, saya dah tak ada fikir ke arah itu (bercinta pada masa ini). Kalian selalu bertanyakan hal peribadi kepada saya, tetapi sekarang saya tidak ada pun yang nak dikongsikan,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Menurut Emma, biarpun tiada teman lelaki istimewa dalam hidupnya kini, dia tidak pernah meletakkan sebarang had untuk berkawan dengan sesiapa. Justeru, katanya, sehingga kini dia masih lagi berkawan baik dengan Kamal.

“Saya dengan Kamal memang masih berkawan. Kalau dia mengajak saya keluar, saya masih keluar walaupun tiada sebarang perhubungan istimewa. Tak pernah sesekali saya mahu menyekat sesiapa untuk berkawan. Saya masih berkawan dengan semua orang.

“Secara jujur, sesiapa nak berkenalan boleh sahaja. Cuma, dilemanya apabila rapat sedikit dikatakan bercinta. Ulang tahun kelahiran Kamal saya sambut, ulang tahun kelahiran kawan lain pun saya akan sambut. Sesiapa sahaja yang pernah menghargai ulang tahun kelahiran saya, sudah pasti saya akan lakukan perkara yang sama terhadap mereka. Jadi semua orang saya berkawan,” katanya.





Jelasnya lagi, buat masa ini, dia tidak mahu memikirkan soal jodoh. Baginya, ada perkara lebih penting yang perlu dicapainya dalam hidup selain kehidupan cinta.

“Saya sekarang ini menjalani kehidupan solo seperti biasa sahaja. Biarlah masa yang menentukan. Sampai masa, kalau ada orang masuk meminang, saya kahwinlah. Memang tidak ada letak sebarang harapan,” jelasnya yang turut pernah dikaitkan dengan pelakon Alvin Chong sebelum ini.

Jelas pelakon drama My Coffee Prince itu, buat masa ini fokusnya hanya diberikan kepada karier dan perniagaan yang dijalankannya selama ini.

“Sekarang ini, fokus saya kepada bisnes yang dijalankan oleh adik-beradik saya. Kalau boleh perancangannya memang mahu kembangkan lagi.

“Bahkan, pada bulan puasa ini juga saya akan terlibat dengan membuka tapak jualan di KL Raya Fest yang dianjurkan oleh Mood Republik,” katanya.

Jelasnya lagi, saban tahun, dia memang memilih untuk berniaga di tapak festival jualan tersebut kerana tahu sambutan yang menggalakkan dalam kalangan orang ramai.

“Lagipun, biasanya saya sudah tahu lebih awal tarikh penganjurannya. Jadi, sebagai pelakon saya senang untuk menyusun atur jadual saya untuk turun sendiri ke tapak perniagaan,” katanya yang memberitahu festival jualan itu nanti akan bermula pada 8 Jun ini.

KL Raya Fest itu bakal berlangsung selama 72 jam tanpa henti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pada tahun ini, selain Emma, difahamkan seramai 97 selebriti lain bakal terlibat sama antaranya Yana Samsudin, Zain Saidin, Ziana Zain dan Elfira Loy bakal menyertai festival itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post